Cek kiblat anda hari ini

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Jangan lupa untuk menyemak arah Kiblat tempat anda hari ini. Sebenarnya kita di Malaysia boleh menyemak ketepatan arah Kiblat (untuk kepastian bagi mereka yang baru menetap di suatu tempat baru contohnya) dua hari dalam setahun; iaitu pada hari ini 28 Mei pada jam 5.16 pm (1716) atau pada 16 Julai jam 5.28 pm (1728). Hal ini kerana, pada kedua-dua hari tersebut dan pada masa berkenaan, keadaan matahari berada tepat di atas Ka’bah di Makkah al-Mukarramah (seperti yang ditunjukkan dalam ilustrasi di atas). Oleh yang demikian, di mana-mana tempat yang menerima bayang matahari pada tempoh hari dan masa yang berkenaan akan dapat menentukan arah Kiblat mereka dengan tepat. Cara menentukan arah Kiblat menggunakan kaedah ini telah digunapakai oleh banyak negara dan badan-badan rasmi yang bertanggungjawab terhadap agama Islam setempat.

Lagi

Hujan oh hujan

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Usai solat maghrib berjamaah tadi, ana mengajak ‘Aidi Bassyar pulang ke rumah. Anak ini perlu masuk tidur awal, esok nak ke sekolah. Jika lewat tidur, maka masalah lah ketika hendak bangun pagi. Jadualnya hari-hari, makan malam adalah selepas solat maghrib. Amalan asuhan bulan Ramadhan. Bila azan maghrib, berbuka dengan tamar dan air sahaja, usai solat baru jamah nasi. Berehat seketika sementara menunggu untuk solat Isya’ seterusnya tarawih. Itulah jadualnya.

Lagi

300

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Kebetulan tulisan ini adalah entry blog IbnRajab Online yang ke-300. Dalam tempoh masa dua tahun lebih usia blog kecil ini (bermula september 2007) iaitu dalam masa lebih 800 hari, dimuatkan dengan 300 artikel bermaksud purata ana menulis dan berkongsi idea di sini adalah dalam lingkungan satu artikel untuk dua hari. Atau mungkin lebih tepat satu artikel untuk tiga hari. Apa-apapun, harapan semoga tulisan yang sedikit itu mampu merealisasikan impian dan harapan penulis sendiri iaitu “mengharap pahala, walaupun di saat tuannya sedang dibuai mimpi”. InsyaAllah.

Suatu hari mak ana pernah bertanya “Apa hal tulis blog?”. Ana jawab ringkas “Mak, setiap kali menulis, saya tulis lafaz ‘Bismillahirrahmanirrahim’ kemudian saya bagi salam, mungkin ada orang baca tulisan saya jadi secara tidak langsung ia memberikan saya pahala kerana membantu orang lain menyebut nama Allah (dalam kalimah basmalah) dan menyampaikan syiar Islam iaitu al-Salam”. Mak ana angguk-angguk. Mungkin setuju.

Lagi

Kg Sri Manja

Kampung Sri Manja atau lebih dikenali sebagai Kampung Baru Rekang Hulu terletak dalam Jajahan Bachok, Negeri Kelantan Darul Naim. Jalan masuk utama ke kampung ini adalah menerusi jalan kampung Rekang yang menuju ke kampung Pak Elong (arah menuju ke selatan semenanjung Malaysia iaitu menuju ke Daerah Pasir Putih dari Bandar Bachok).

Kampung Rekang terbahagi kepada beberapa kampung kecil yang lain iaitu Rekang Hilir, Rekang Hulu, Kuala Rekang dan kampung Rekang itu sendiri. Jalan Jelawat menuju ke Cabang Tiga Melawi itu adalah pemisah di antara kampung Rekang dan kampung Rekang Hilir. Kampung Kuala Rekang itu pula berada di tepi pantai (hampir dengan kuala sungai). Manakala kampung Rekang Hulu atau kini dinamakan sebagai Kampung Sri Manja terletak paling selatan melewati kampung Rekang Hilir dan kampung Rekang.

Lagi

Kota Bharu lonih

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

kbSaja ana nak kongsi pengetahuan bersama rakan-rakan yang berada di perantauan. Bahawa Kota Bharu kita hari ini telah berubah sakan dah. Dengan sistem jalan sehala, projek pembangunan yang unik lagi menampakan tamadun Islam abad ini dan pelbagai program ilmiah yang diteruskan dan dipertingkatkan.

 
Jalan Sehala
Pelaksanaan Sistem jalan Sehala di Pusat Bandar Kota Bharu bermula 11 Ogos 2009  ternyata telah berjaya mengurangkan  kesesakan lalulintas di Bandar Raya Islam ini berbanding dengan keadaan sebelumnya.

Tinjauan yang dilakukan pada hari pertama, kedua dan hari-hari seterusnya mendapati, aliran lalulintas di pasat bandar berjalan lancar kerana beberapa jalan utama yang sebelum ini merupakan laluan dua hala (bertentangan) telah ditukar menjadi sehala membolehkan  sekurang-kurang 4 buah kenderaan dapat bergerak serentak ekoran keadaan jalannya yang lebar atau luas selepas pembahagi jalan dibuang.  

Antara jalan-jalan yang terlibat menjadi  jalan sehala  Jalan  Temenggong, Jalan Doktor, Jalan Hospital (bermula dari Simpang Empat Jalan Mahmod hingga ke Medan Tuan Padang),  Jalan Gajah Mati, Jalan Tok Hakim, Jalan Pintu Pong menuju ke Pasar Siti Khadijah dan Jalan Parit Dalam.

Laluan masuk ke Pusat Bandar dari 4 arah berasingan sebelum ini iaitu dari arah Pasir Putih, Machang, Tumpat/Wakaf Bharu dan Pengkalan Chepa tidak berubah Cuma berlaku satu penambahan pintu masuk di Jalan Sultan Ibharim berhampiran Stesen Minyak Esso apabila pemandu yang datang dari arah Pasir Putih, Machang dan Tumpat boleh terus ke Hospital Raja Perempuan Zainab II tanpa perlu melalui Bulatan Medan Tuan Padang (Menara Jam Besar).

Walaupun pada peringkat percubaan ini, ramai pemandu yang teragak-agak untuk mencari laluan masuk ke pusat bandar dan sering kedengaran berlakunya kemalangan kecil  namun mungkin dalam tempoh beberapa hari lagi, keadaan akan berubah apabila orang-ramai sudah biasa dengan laluan baru ini.

berita lanjut
Muat turun peta jalan KB baru right-click link ini kemudian pilih ‘save target as’ untuk download.

kbtc
Pembangunan
KBTC, sebuah bangunan yang didirikan di kawasan ‘padang bas’ dulu kini telah siap. Parkson mula beroperasi pada sabtu 15 Ogos 2009 baru ni. Pasar Siti Khadijah ada sedikit perubahan pada bahagian sayap yang bersebelahan dengan bangunan KBTC ini. Dulu tempat itu orang jual buah-buahan. Kini bangunan baru sedang dalam proses. Bangunan dihadapannya itu, bersebelahan dengan masjid al-Bara’ah telah beroperasi sebagai Tandas Awam yang baru menggantikan yang lama (telah pun dirobohkan).

Bandar baru Kubang Kerian juga tidak kurang pesat membangun. Deretan pusat komersial berhadapan Hospital USM telah siap sepenuhnya dan beroperasi. Selain itu, Bandar Satelit juga telah mula dibangunkan di kawasan Pondok Pasir Tumbuh. Memang hebat apabila pembangunan dilakukan di kawasan itu. Jarang sekali kita lihat sebuah bandar didirikan bersebelahan pondok tempat mengaji ilmu agama. Gabungan di antara Modenisasi dan Ilmu menjadikan satu lagi ciri uniknya Negeri Kelantan pada mata yang ingin melihat dengan hatinya.

Sekian untuk makluman rakan-rakan. Jom balik kelate…. wassalam.

Remis

DSC01039

Bismillahirrahmanirrahim

DSC01029

Remis, sejenis hidupan laut yang naik ke tepian pantai secara bermusim. Kadang-kadang setahun sekali dan kadang-kadang 5 tahun sekali. Hidupan laut menyerupai keram kecuali kulitnya yang licin. Satu jenis lagi dipanggil ‘resit’ yang saiznya agak kecil sedikit dan kulitnya meruncing. Juga datang ke tepian pantai secara bermusim tetapi beza antara keduanya, remis mudah kelihatan, lebih aktif berenang seperti anak-anak ikan manakala resit hanya bersembunyi jauh ke dalam pasir pantai dan tidak pernah dilihat ia berenang.

DSC01028

Fenomena alam ini kini tiba lagi di beberapa buah pantai di Daerah Bachok, Kelantan terutama di pantai Kuala Melawi, Pantai Baru dan Pantai Kampung Anak Rhu. “Sejak dua minggu lepas lagi orang ramai berpusu-pusu datang ke mari, macam ada pesta” Luah seorang penduduk di kampung Anak Rhu. Hari catatan ini ditulis, terdapat lebih 10 buah kereta diparkir pada satu-satu tempat, dan deretan manusia yang memenuhi pantai kelihatan seperti semut-semut hitam yang mengerumuni sebuah pinggan yang berisi gula. Memang macam pesta.

“Harganya bukan mahal, dan masa sekarang ni banyak pula dijual di pasar-pasar” kata seorang pencari remis. “Tapi keseronokan merasai pengalaman mencarinya itu di tambah dengan kemeriahan dapat meluangkan masa bersama anak-anak dan keluarga yang sama-sama mengutip remis” sambungnya lagi. “Saya baru balik kerja ni, pukul 5.30 tadi anak-anak ajak ke mari” sahut seorang lelaki yang agak khusyuk mencari remis bertemankan beberapa orang anaknya.

DSC01037

Ana secara peribadi telah seminggu menerima sms dari seorang sepupu yang tinggal di pantai Anak Rhu mempelawa turun mencari remis bersama anak-anak. Oleh kerana ana tidak datang-datang, hari ini beliau datang ke rumah dan menceritakan perihal pesta mencari remis ini membuatkan akhirnya ana teruja juga untuk datang melihat dan merangkap mencari remis sekali. Memang dah berpuluh tahun ana tidak merasai nikmat remis ni. Anak-anak ana masing-masing tidak kenal dan tidak pernah lihat hidupan laut ini yang menjadi kegemaran tahunan ayahnya suatu masa dahulu. Ana juga walaupun dah banyak kali makan remis masa kecil-kecil dulu, tapi tidak pernah terfikir bahawa remis ini mampu berenang macam ikan. Dulu mungkin ana pernah lihat tapi mungkin ana juga dah lupa.

Ana difahamkan, waktu paling sesuai mencari remis pada minggu ini adalah selepas Asar. Antara jam 5.00 hingga 7.00 petang. Kemudian apabila air mulai pasang pada awal malam, mencari remis telah menjadi sukar kerana paras air laut telah menjadi dalam. Kalau dua minggu lepas, orang-orang kampung datang cari remis lewat jam 2.00 pagi hingga ke subuh. Kemudian mereka hantar untuk dijual ke pasar-pasar berdekatan seperti Pasar Jelawat, Bandar Bachok, Beris dan ada yang bawa hingga ke Kota Bharu.

DSC01026

“Tahun ini remis memamg banyak” Kata sepupu ana. Memang pun, kalau dah hampir sebulan remis tak habis-habis juga. Biasanya remis ni naik ke pantai dalam seminggu sahaja paling lama pun. Fikiran ana yang agak penakut ini mudah terfikir “Eh, hari tu orang pantai dah berpesta baring, ni pesta remis pula.. Aceh dulu berpesta ikan sebelum didatangi thunami.. Subhanallah, wal iya zu billah” hati ana beristighfar. Ana segera buang jauh-jauh fikiran hitam yang mencatatkan sejarah hitam dunia itu juga. Namun ana tidak menafikan ketakutan berhadapan dengan bala bencana yang Allah sediakan kepada manusia yang tidak sedar.

Semoga, kedatangan remis-remis ini dan pelbagai nikmat lagi adalah merupakan rezeki limpahan Allah kepada hamba-hambaNya yang beriman. Bukanlah sebagai isyarat kepada seribu kemusnahan akibat daripada kelalaian manusia itu sendiri.

Apabila jam sudah menunjukkan pukul 6.30 petang, cepat-cepat ana ajak anak-anak untuk balik. Lagipun hasil kutipan remis sudah lebih dari 2 kilogram kalau hendak ditimbang. Itu baru cari dalam masa kurang dari sejam. “Awal lagi ni, belum nak gelap” anak-anak meluahkan rasa tidak puas hati. “InsyaAllah kalau tak cukup yang ni, esok lusa kita datang lagi, kita bawa kak anis dan abang shahir datang sekali” Jawab ana. Bila saja mendengar janji ana itu, mereka terus sahaja naik ke atas sambil terus meluru ke kereta, kerana membayangkan keseronokan mencari dan mengutip remis bersama sepupu-sepupu mereka yang tinggal di Kota Bharu itu nanti.

Semoga Allah menyelamatkan kita semua daripada ditimpa kesusahan yang tidak dapat kita tanggung dan tangani..

wallahu aklam.

Keajaiban alam: Baring

Bismillahirrahmanirrahim

Keajaiban alam merupakan salah satu daripada petanda kewujudan Allah dan kekuasaan-Nya, Subhanahu wa Taala (SWT). Petanda kewujudan kerana tidak ada satu perkara di dunia ini (samada yang dapat dilihat (idrak) oleh pancaindera manusia ataupun tidak) yang wujud tanpa pencipta. Semua yang ada itu asalnya tidak ada kemudian dijadikan oleh penciptanya maka ia menjadi ada. Apa sahaja.

Semua benda ada pencipta. Meja, mata pensil, komputer, kapal terbang, alat telekomunikasi dan sebagainya itu ada pencipta. Sistem pun ada pencipta. Sistem lampu trafik, sistem pengurusan, sistem kewangan dan pelbagai sistem itu juga ada pencipta. Jadi masakan alam ini tiada pencipta? Masakan keajaiban alam itu terjadi begitu sahaja? Masakan manusia itu dijadikan sia-sia, untuk hidup 50-100 tahun kemudian meninggal begitu sahaja?

Allah yang menciptakan alam ini. Dia mencipta keajaiban-keajaibannya agar manusia berfikir dan bertemu Allah dengan hati mereka sebelum bertemu Allah dengan mata kasar di akhirat. Allah menciptakan sistem Islam; sistem beragama (ibadah) Islam, sistem perundangan Islam, sistem ekonomi Islam, sistem perbankan Islam, politik Islam, pendidikan Islam dan sebagainya. Pelbagai sistem itu yang dapat dicedok keluar daripada Al-Quran, sumber perujuk penentu kehidupan manusia yang berjaya. Di dunia dan akhirat sana.

Fenomena yang cuba ana nak ketengahkan kali ini adalah kemunculan sekumpulan udang-udang kecil di tepian pantai (Bachok) pada minggu lepas. Mereka (para nelayan dan penduduk) namakannya sebagai “Udang Baring”. Ia adalah udang kecil bersaiz antara 1.5 hingga 2 cm panjang, dan 0.2 hingga 0.5 cm gemuk (diameter).

“Udang ni datang selama tiga hari berturut-turut, bermula isnin 16 februari hingga rabu 18 februari baru ni”. Tiga hari yang memberi pendapatan sangat lumayan kepada mereka yang berusaha menangkap udang baring berkenaan untuk diproses. Salah seorang daripada mereka dapat kumpul 18 guni gula dengan setiap satunya seberat 7 hingga 8 kg. Sekilo udang baring dijual dengan harga RM10.00 hingga RM12.00. “Dapatlah dalam RM1400.00 lebih-lebih” kata seorang nelayan yang ditemui di rumahnya di kampung Telong, Bachok Kelantan. Satu pendapatan yang sangat berbaloi untuk tiga hari bekerja. Wow!

“Udang baring ni datang setahun sekali, biasanya dalam bulan-bulan macam ni lah”. Sambungnya berbual mesra. “Kita akan nampak kumpulan mereka datang menerjah tepian pantai, warna air laut seakan berubah kemerah-merahan kerana bawaan bayang-bayangnya itu”. Ujarnya lagi. “Mereka tidak akan lari dan suka bermain-main dekat betis dan paha kita, boleh tangkap dan makan begitu sahaja” Tambahnya sambil berseloroh.

Udang baring ini akan dikaut menggunakan jala khas bersaiz 2 x 1.5 meter berbentuk V. Kemudian dijemur di atas pasir pantai di situ juga. Apabila kering, udang-udang itu dipungut dan diayak bagi memisahkan udang dengan pasir pantai. Seterusnya ia akan diisi ke dalam kampit (guni) beras, atau guni baja. “Bagaikan satu pesta, orang-orang kampung keluar beramai-ramai memungut udang baring, masing-masing dapat lebih daripada 5 guni seorang” komen pakcik itu tadi.

Subhanallah. Banyak sungguh udang baring yang datang dalam tiga hari itu. Maka ana tertanya-tanya sendiri, sebelum ini mereka tinggal kat mana? Kenapa tak datang? Kenapa kini (masa-masa macam ni) mereka tiba-tiba muncul. Jinak bagaikan sengaja ingin ditangkap. Bila mereka membiak. Dan seribu satu soalan yang menjerngah.

Jawapan yang paling muktamad ialah: “itulah kekuasaan Allah nak” tegas pakcik itu tadi. Allah memberi rezeki kadang-kadang tanpa disangka-sangka oleh kita selaku manusia. Kadang-kadang pula Dia menarik rezeki daripada mereka (hambaNya) yang tidak bersyukur. Sebagai ujian bagi memberi pengajaran sekiranya mereka berfikir.

“Tahun lepas udang tak banyak sangat. Datang pun dua hari sahaja. Harga dalam RM4.00 hingga RM7.00 sekilo. Tak dapat beribu (ribuan ringgit) macam hari ini” sambungnya berbicara. “Ini semua rezeki Allah nak..” Jawapan yang menggambarkan ketinggian iman orang kampung di sini. Sedikit sebanyak hati ana ini bermuhasabah iman sendiri di dalam hati.

Itulah keajaiban alam yang ana maksudkan. Bagi ana, pendapat ana, fenomena ini suatu keajaiban yang akan menyampaikan hamba kepada tuhannya sekiranya mereka ingin memikirkannya. Wallahu aklam.

Keajaiban Air

Bismillahirrahmanirrahim..

Air adalah makhluk kejadian Allah SWT. Air adalah sumber kehidupan. Firman Allah “Dan kami jadikan daripada air segala sesuatu itu hidup” (al-Anbia:30). Air daripada segi saintifiknya mengandungi dua komponen Gas Hidrogen dan satu komponen Gas Oksigen (H2O). Air juga memenuhi 2/3 daripada bumi.

Sifat air
Air sentiasa hidup. Kehidupan air itu pula mudah diperhatikan. Lihat saja kepada air laut yang sentiasa bergelora. Ia lambang bahawa air laut itu hidup. Lihat pula kepada titisan air yang jatuh dari langit singgah di dedaunan kemudian menggelonsor jatuh ke bumi. Di sana air terkumpul lalu mengalir pula ke sungai seterusnya ke laut seterusnya naik semula ke langit membentuk awan kemudian turun hujan lagi.

Air semestinya hidup. Perhatikan pula air di dalam bekas. Pantang digoyangkan walaupun sedikit maka air akan berkocak. Air jika disimpan di dalam bekas berpuluh-puluh tahun pun tidak akan mati. Macam itu juga. Bila diusik pasti akan berkocak. Tetapi suatu hari nanti air pun akan mati juga. Bila dan bagaimana hanya Allah yang Maha Mengetahui. Cuma hari ini orang mengatakan air yang telah direbus itu air mati.

Sifat air yang kedua (sebagimana yang telah diberitahu kepada ana oleh seorang bijak pandai dan banyak pula pengalaman hidup) adalah merakam. Air mampu merakam perkataan manusia dan menyimpannya kemudian boleh dikeluarkan semula (hasil rakaman itu) apabila manusia teresbut memerlukan. (Ayat ini mengandungi sedikit falsafah tetapi jika diperhatikan ia boleh difahami). Air seperti kaset yang dapat merakamkan suara ke dalam pita kaset. Kemudian boleh dipasang untuk dimainkan beberapa kali.

Seorang sahabat Nabi telah diminta untuk mengubati seorang yang sedang sakit. Lalu diminta air dan dibacakan ke atasnya surah al-Fatihah. Apabila diberi minum air tadi maka dengan izin Allah dia sembuh dan sahabat tadi mengambil upah (makanan) di atas usahanya itu. Perkara ini disampaikan kepada Rasulullah SAW maka Nabi mengiayakan perbuatan sahabat berkenaan.

Air dapat merakam bacaan al-Fatihah sahabat tadi lalu menyimpannya. Setelah ia memasuki tubuh pesakit dan dikehendaki agar ia menyembuhkan, maka dengan izin Allah, al-Fatihah yang disimpan di dalamnya tadi berupaya menjadi ubat yang paling mujarab. Semua jenis air boleh merakam dan menjadi ubat tetapi yang lebih utama adalah air mutlak yang tidak bercampur dengan anasir-anasir lain terutama bakteria. Yang tentu sekali ia akan memberi mudharat pula.

Cuma perbezaan di antara set perakam (kaset) dengan air adalah yang satu itu (perakam kaset) zahir dan air bersifat batin. Yang zahir akan terlaksana tanpa melihat kepada siapa pelakunya. Samada orang dewasa atau kanak-kanak, lelaki atau perempuan dan sebagainya. Sekiranya butang “recording” itu ditekan, maka proses rakaman akan berjalan lancar.

Sebaliknya yang batin lebih perlu kepada niat dan keikhlasan pelakunya. Di samping tata tertib dan cara perlaksaan yang betul. Dalam erti kata yang lain, semakin dekat seseorang pelaku itu dengan Allah SWT (pencipta air) maka semakin berkesanlah tindakannya ke atas air itu. Sebab itu tidak hairanlah kita perhatikan dalam masyarakat (dahulu terutamanya) sering mengunjungi orang-orang alim untuk meminta air tawar sebagai ubat. Terutama bagi mengubati penyakit-penyakit batin seperti sifat marah, dendam, malas, di rasuk syaitan dan sebagainya.

Anak dan ibu
Tujuh puluh peratus (70%) diri manusia terdiri daripada air. Maksudnya komponen utama jasmani manusia itu adalah air. Kebergantungan hidup manusia kepada air lebih daripada selainnya. Kita biasa dengar orang mengatakan manusia boleh hidup tanpa makan berhari-hari tetapi tidak boleh hidup tanpa air hanya untuk dua atau tiga hari sahaja.

Oleh kerana sifat air adalah merakam, maka seeloknya seorang ibu (terutamanya) tidak mengatakan sesuatu yang tidak baik kepada anaknya. Kita selalu mendengar perkataan ibu itu samada baik atau tidak adalah doa. Kerana ibu adalah orang yang paling dekat dengan anak. Kerana anak itu dikandung dalam rahimnya selama sembilan bulan sepuluh hari. Masakan perkataan ibu tidak mudah diterima?

Oleh itu, kita selalu perhatikan, seorang ibu yang selalu bercakap baik dengan anak, mendoakan kejayaan anak, berkata dengan perkataan yang baik sahaja kepada anak, memuji tindakan baik anak dan memotivasikan anak yang berkelakuan tidak baik, selalu mengucapkan harapan baik terhadap anak dan sebagainya pasti akan menjadikan anak tersebut orang yang baik sebagaimana perkataan ibunya. Sebaliknya pula sekiranya semua perkataan ibu adalah sumpah-seranah, maki hamun, melahirkan rasa tidak puas hati dan sebagainya itu akan menatijahkan anak yang derhaka pula. Wal iya zu billah..

Hal ini kerana sifat air (yang paling banyak dalam diri anak) itu akan merakam setiap perkataan yang didengarinya. Terutama daripada orang yang paling dekat dengannya. Kemudian, air tadi akan mengulang-ulang perkataan tadi di telinga (hati) anak yang kemudiannya membentuk ia sebagaimana yang diingini oleh hatinya. Samada baik ataupun sebaliknya. Klik di sini untuk membaca pengalaman yang ditulis berkenaan penerimaan air serta perubahannya mengikut apa yang didengarinya.

Kesimpulan
Jika hari ini kita menziarahi orang yang sedang sakit, ambillah segelas air dan bacakanlah apa sahaja yang termampu dengan perasaan penuh keikhlasan dan pengharapan agar penyakitnya itu disembuhkan oleh Allah. Mudah-mudahan penyakitnya akan beransur pulih. Klik di sini bagi membaca rakan yang menulis tentang molekul air yang diucapkan dengan ucapan yang baik.

Jika hari ini kita adalah seorang ibu, ayah ataupun cuma seorang rakan kepada orang lain. Ucapkanlah perkataan yang baik-baik sahaja kepada mereka yang mendengar ucapan kita. Kerana selain ia membentuk kebaikan kepadanya, kita juga akan menerima kebaikan daripada ucapan baik kita itu nanti. Firman Allah “Tidakkah sesuatu yang baik itu akan dibalas dengan yang baik juga?” (surah al-Rahman)

Semoga bermanfaat, wallahu aklam.

Bunga Raya

Bunga Raya atau nama saintifiknya Hibiscus ros-sinensis telah dinobatkan sebagai Bunga Kebangsaan pada 28 Julai 1960 oleh Perdana Menteri Malaysia ketika itu, YTM Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Ia dipilih sebagai Bunga Kebangsaan kerana; Warna merah bermaksud keteguhan politik dan ekonomi serta sifat berani menempuh cabaran. Debunga-debunganya pula berwarna kuning melambangkan kedaulatan Raja. Manakala kepelbagaian bunga raya dari segi bentuk, warna dan ukuran melambangkan rakyat pelbagai kaum, agama dan budaya yang hidup dalam harmoni. 

Bunga raya biasa ditanam di halaman rumah kita. Cara menanamnya tidak juga terlalu sukar. Memadai sekiranya anda potong mana-mana dahannya, kemudian anda semai di tempat yang ada air atau berair. Atau terus anda cucuk dalam pasu dan biarkan di tengah hujan, insyaAllah ia boleh hidup. Dalam dua atau tiga hari anda akan lihat dedaun asalnya (setelah dipotong) akan mula kekuningan dan jatuh, kemudian jika ada rezeki pucuk baru akan mula menampak setelah seminggu hingga dua minggu anda semai.

Demam
Ujian yang Allah tetapkan pada diri ana dan anak-anak ialah cepat sangat kena demam. Tapi alhamdulillah bukan kategori demam panas yang melampau sehingga membawa kepada meracau-racau. Tetapi boleh dikatakan setiap kali berlaku perubahan cuaca, ada dalam kalangan kami yang kena demam. Kecuali isteri yang antibodinya agak kuat. Hari ini kebetulan anak kedua ana demam lagi.

Petua ibu ana, bila demam maka diambilnya dua hingga tiga kuntum bunga raya dan diramas-ramas ke dalam semangkuk air kemudian disapu-sapu pada badan bagi mengurangkan panasnya. Mula-mula ana merasa tidak yakin dengan perubatan (amalan) mak ana ini. Ya lah bunga raya. Sudah lama sebenarnya ana hidup dan kenal dengan bunga raya. Tetapi sudah dinamakan ibu, bila ia nak lakukan sesuatu pada kita (anaknya) takan nak larang pula. Tambah-tambah keikhlasan seorang ibu memang tidak dinafikan.

Kali pertama ana kena usapan air bunga raya adalah ketika demam minggu lepas. Hari ahad itu ana hampir tidak dapat bangun sehingga adik yang nak ke Kuala Lumpur pun minta sepupu tolong hantarkannya ke stesen bas Jalan Hamzah. Sebelum ini ana hanya perhatikan sahaja mak ana atau isteri (juga sudah mula mengamalkan perubatan air bunga raya itu) yang menyapu air bunga raya ke badan anak-anak. Kata mereka dapat mengurangkan suhu badan yang panas.

Apabila terkena air bunga raya yang mak ana sapu ke tubuh ana, dengan tidak semena-mena tubuh yang terasa panas membahang itu semakin terasa kurang bahangnya. Ya lah dah kena air fikir ana. Tetapi setelah itu ana rasa tubuh semakin sejuk dan dapat bertahan sehingga ke tengahari (sejuknya). Fikir ana: mujarab juga, biasa kalau kena air biasa, tubuh akan sejuk dalam beberapa ketika sahaja. Maka mulai saat itu ana sudah semakin minat memandang dan memerhatikan kepada bunga raya yang mak tanam di sekeliling rumahnya ini. Dalam hati berkata: Kalau sudah petua ibu, insyaAllah akan menatijahkan yang baik-baik sahaja.

Alternatif
Ana syorkan kepada anda semua supaya menanam bunga raya ini di halaman rumah. Memang tiada teori sains yang mengatakan air ramasan bunga raya dapat mengurangkan panas badan ketika demam. Biasanya panadol atau paracetamol sahaja yang digunakan. Kita pun tidak tahu, sudah berapa banyak bahan kimia itu telah menempat dalam tubuh kita dan anak-anak. Dengan itu, elok juga dicuba air ramasan bunga raya ini sebagai perubatan alternatif apabila anak-anak atau anda sendiri kena demam.

Sesungguhnya bagi setiap penyakit itu ada ubatnya. Cuma kita perlu berusaha ke arah itu. Setelah itu bertawakkallah kepada Allah dengan apa sahaja ubat yang digunakan agar ia benar-benar mujarab. Kerana yang menyembuhkan adalah Allah. Ubat itu hanyalah usaha kita semata-mata. Seperti lapar kita perlu berusaha untuk makan tetapi yang memberi kita kenyang adalah Allah.

Untuk lebih info berkenaan bunga raya sila klik di sini

Wallahu aklam.