Kitab Tashil secara percuma atau beli dan waqaf

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

1

Syukur al-Hamdulillah, dalam usaha menelusuri jejak pengajian PhD saya diberikan kesempatan membuat penelitian ataupun pemerhatian ke atas kelas pengajian kitab yang dijadikan bahan kajian saya itu di Pondok Pasir Tumbuh Kelantan. Pemerhatian dalam bentuk penglibatan secara langsung itu disebut sebagai pemerhatian peserta dalam kamus metodologi kajian. Untuk menjayakannya, saya terlibat dalam kelas tersebut sebagai pemerhati dan sekaligus sebagai peserta, iaitu menjadi salah seorang murid dari mula sampai tamat pengajian. Kelas yang saya ikuti itu bermula pada 23/4/2015 dan berakhir pada 20/7/2016, iaitu dalam tempoh satu tahun tiga bulan (15 bulan).

Kitab atau apa yang disebut sebagai korpus yang terlibat dalam kajian atau pengajian saya itu bernama Tashil Nayl al-Amani fi Sharh ‘Awamil al-Jurjani karangan al-Allamah Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fatani. Beliau melakukan sharh kepada matan ‘Awamil karangan Sheikh Abdul Qahir al-Jurjani yang masyhur sebagai pakar dalam bidang bahasa Arab khususnya ilmu Balaghah dan mukjizat al-bayan bagi al-Quran. Teorinya yang masyhur, iaitu Teori Susunan telah menarik perhatian ramai pengkaji dalam bidang berkenaan.

Sepanjang mengikuti kelas Tashil tersebut saya mendapati sedikit kesukaran meneliti teks kitab yang digunakan oleh saya sendiri dan para pelajar yang lain. Cetakan yang dimaksudkan adalah terbitan syarikat Bin Halabi yang beroperasi di Fatani, Thailand dengan tidak disebutkan tahun penerbitan. Saya mendapati tulisannya agak kecil dan menyukarkan kami membuat catatan ke atas huraian yang disampaikan oleh tuan guru yang mengajar. Ada di antara kami yang terpaksa menyalin semula teks kitab tersebut ke dalam buku khas bagi melancarkan proses catatan ilmu berkenaan.

Di samping itu juga terdapat beberapa kesalahan cetakan bahkan ada beberapa perkataan yang tertinggal. Perkara ini dikesan setelah tuan guru membuat huraian di samping rujukan kepada naskhah kedua yang dicetak oleh syarikat Khazanah Fataniyah pada tahun 2010. Syarikat yang merupakan hak milik kepada cucunda Sheikh Ahmad itu sendiri mengambil inisiatif mencetak semula kitab Tashil untuk tujuan wakaf. Namun kualiti cetakan juga masih tidak memuaskan kerana ia dihasilkan melalui cetakan fotostap dari salah sebuah manuskrip kitab berkenaan tanpa melakukan proses taip semula.

Oleh hal yang demikian, setiap kali selesai daripada mengikuti kelas bersama tuan guru di Pondok, di samping melakukan catatan Nota Lapangan bagi tujuan kajian, saya mengambil inisiatif menaip semula teks kitab ini dalam komputer. Kemudian saya letakkan baris ke atas setiap perkataannya di samping mengeluarkan rujukan (takhrij) setiap shahid al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w yang terdapat dalam kitab tersebut. Setelah selesai kesemua halaqat pengajian bersama tuan guru, saya cetak hasil usaha berkenaan dan persembahkan kepada beliau. Alhamdulillah tuan guru bersetuju untuk melakukan semakan yang teliti ke atas setiap patah perkataan termasuk baris (tashkil) dan kesasihan takhrij shahid al-Quran dan hadis tersebut.

2Setelah menjalani proses semakan selama lebih kurang empat bulan (Ogos – Disember 2016), tuan guru turut bersetuju agar kitab ini diulang cetak bagi membantu para pelajar pada masa hadapan. Segala urusan percetakan, promosi, jualan dan agihan kitab akan diambil alih sepenuhnya oleh Syarikat Sidaratul Muntaha Enterprise yang merupakan syarikat percetakan yang sedang aktif menerbitkan kitab turath milik tuan guru sendiri. Hasilnya, kini kitab Tashil diedarkan dalam dua bentuk, pertama dalam bentuk jualan biasa dengan harga RM15.00 satu naskhah untuk semenanjung Malaysia dan RM16.50 bagi Sabah dan Sarawak.

Bagi membuka ruang kepada khalayak masyarakat untuk turut terlibat dalam memartabatkan pengajian kitab turath di Pondok dan peluang amal jariah, pihak syarikat turut bersedia mengedarkan kitab Tashil berkenaan dalam bentuk Waqaf. Ini bermakna, sesiapa pun jua yang berhasrat menyumbang dalam bentuk waqaf kitab ini, boleh berbuat demikian dengan membayar RM15.00 satu naskhah kepada pihak syarikat dan kitab waqaf berkenaan akan disalurkan kepada para pelajar atau institusi Pondok yang terlibat mengajar kitab Tashil sama ada di Negeri Kelantan khususnya atau mana-mana negeri di Malaysia bahkan boleh sahaja diagihkan ke serata pelusuk Nusantara ini.

Oleh itu, saya sebagai pemilik blog ini dan juga penyumbang sedikit usaha bagi cetakan kitab Tashil oleh syarikat Sidratul Muntaha berkenaan, saya dengan rendah hati mempelawa dan mengalu-alukan siapa sahaja dalam kalangan pembaca sama ada untuk melakukan sumbangan waqaf kitab tersebut ataupun menuntut bekalan kitab untuk dijadikan bahan pengajian di pondok. Untuk itu, tuan/puan boleh berhubung terus dengan saya menerusi emel ibnrajab[at]yahoo.com atau menghantar mesej peribadi (PM) menerusi FB saya http://www.facebook.com/abubassyar

Ciri-ciri kitab Tashil Nayl al-Amani cetakan syarikat Sidratul Muntaha Enterprise, 2017:
– Dicetak dalam bentuk buku bersaiz A4 (82 muka surat).
– Ditaip dengan font yang lebih besar secara double spacing, memudahkan pelajar membuat catatan (dhabit).
– Setiap perkataan sudah lengkap diletakkan dengan baris.
– Takhrij (mengeluarkan rujukan) bagi setiap shahid al-Quran dan hadis Nabi SAW.
– Boleh didapati secara percuma bergantung kepada stok buku dari projek waqaf.

Bagi mereka yang berminat mendapatkan kitab ini dari stok waqaf kami, mereka dikehendaki menyertakan nama penuh serta no kad pengenalan, nama institusi pondok yang menganjurkan kelas berkenaan, jumlah pelajar dan juga nama serta nombor telefon guru yang mengajar bagi tujuan rekod dan rujukan kami pada masa hadapan. Maklumat ini hendaklah disalurkan melalui emel dan FB yang tersebut di atas atau klik link ini https://www.facebook.com/abubassyar

Semoga usaha ini dihitung sebagai amal soleh yang ikhlas semata-mata kerana Allah dalam memartabatkan bahasa Arab khususnya pengajian kitab turath di pondok dalam kalangan masyarakat Malaysia dan Nusantara Amnya. Apa sahaja cadangan membina, teguran dan lain-lain yang berkaitan usaha ini amatlah dialu-alukan.

Wallahu Taala Aklam, Wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Sifat Nabi terpuji: Ummiyy

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu ala manittaba’a al-huda

Sebagai sedikit cetusan minda, sempena Maulidur Rasul kali ini 1436H, saya hidangkan kembali tulisan yang pernah saya terbitkan pada tahun 2008 ini untuk tatapan tuan-tuan dan puan pengunjung setia blog yang tak seberapanya ini.. saya sangat mengalu-alukan sebarang padangan dan komentar yang membina daripada tuan-tuan.. saya sedang mempertimbangkan cadangan sahabat saya Ustaz Abdullah dan ustaz Abu Farhi tersebut.. cuma sudah tentu banyak editing perlu dilakukan untuk memperkemaskan lagi artikel yang seadanya ini.. mohon lagi komentar tuan puan guna memantapkan lagi buah isinya.. harap sudi-sudikan..

ini adalah artikel ana yang asal.. selamat bermuhasabah dan memberi sedikit komentar.. wassalam.

>>>>Ana agak terkejut mendengar satu sesi tazkirah Ramadhan yang diterbitkan dalam salah sebuah radio tempatan. Pentazkirah berkenaan melahirkan rasa terkilan kerana ada golongan para ahli agama (Islam) di negara ini yang menasabkan sifat ummiyy kepada Nabi Muhammad SAW dan diterjemahkan sebagai Nabi itu tidak tahu menulis dan tidak tahu membaca. Katanya tuduhan itu adalah melampau dan tidak realistik kepada seorang yang sangat sempurna kejadiaanya samentelah dia adalah sebaik-baik makhluk ciptaan Allah. Rasulullah!

Bagi ana, kenyataan si pentazkirah ini telah menunjukkan sifatnya yang tidak suka mengkaji, sebaliknya hanya suka membuat tafsiran perkara agama mengikut logik akal fikirannya sendiri tanpa merujuk kepada fakta-fakta atau huraian yang dilakukan oleh para ulama muktabar. Sayanglah kalau kita tidak merujuk fakta sahih kerana ia berkemungkinan menyerlahkan penguasaan ilmu agama kita yang sangat tohor.

Lagi

Doa bahasa Arab

Bismillahirrahmanirrahim

Sebagai orang mukmin, kita sangat digalakkan agar berdoa. Nabi SAW berpesan yang bermaksud: Senjata orang mukmin adalah doa. Sebaik-baik doa adalah yang diucapkan dengan ikhlas. Sekiranya mampu hendaklah pula dengan menggunakan bahasa Arab kerana kemuliaan bahasa itu. Bahasa Arab adalah bahasa yang dituturkan oleh Baginda Rasulullah SAW. Bahasa Arab juga bahasa Ahli syurga.

Apabila berdoa menggunakan bahasa Arab, hendaklah seboleh-bolehnya mengetahui asas-asas bahasa itu. Tidak boleh ikut suka hati sahaja. Satu keistimewaan bahasa Arab adalah, kalau pendengarnya adalah seorang yang sangat peka tentang bahasa itu, ia boleh mendatangkan ketidaksenangan di hati apabila mereka mendengar suatu kesalahan. Semacam ada gangguan apabila mendengar bahasa Arab yang disebut secara membuta tuli dan secara sambil lewa sahaja.

Lagi

Salam Eidul Adha 1433H/2013

Assalamu’alaikum wbt.

Selamat menyambut dan meraikan Hari Raya Aidil Adha atau hari raya korban kepada semua pengungjung IbnRajab Online. Dengan ucapan maaf zahir dan batin, kullu am, wa antum bi alf khayr. Semoga amalan kita diterima dan dicatat amal soleh di sisi Allah SWT.

Subhanallah, maha suci Allah yang telah menjadikan hari 10 Zulhijjah sebagai hari raya untuk umat muslimin. Tarikh 10 zulhijjah telah merakamkan pelbagai sejarah dan peristiwa sejak dari zaman Nabi Adam AS sehingga Nabi Muhammad SAW. Semoga kedatangan 10 Zulhijjah pada kali ini memberi seribu keinsafan dan ketawaan kepada kita semua.

Lagi

Kertas Kajian Seminar Penyelidikan Zon Timur 2013

Assalamu’alaikum wbt dan salam sejahtera

Akhir tahun 2012 ana sempat melakukan sedikit kajian tindakan yang dilakukan ke atas pengajaran bahaasa arab dan pengendalian sesi tutorial pelajar PISMP PAI(2) IPG Kampus Sultan Mizan. Setelah laporan siap untuk dibentangkan dalam seminar kajian tindakan peringkat IPG Kampus Zon Timur tiba-tiba panggilan kursus yang tidak dapat dielakkan pula menjengah terlebih dahulu daripada makluman tarikh pembentangan oleh urusetia seminar. Tiket pun telah dibeli maka terpaksalah memohon sahabat karib al-fadhil ust Kamil tolong bentangkan.

Lagi

PKPI Seremban 2012

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh..

Salam hormat kepada pengunjung setia blog IbnRajab Online ini. Sudah lama tidak menulis di sini. Banyak yang perlu dipertimbangkan. Semoga Allah SWT memberikan kelapangan pada setiap apa yang dilakukan. InsyaAllah..

Hari ini, ana nak kongsi pengalaman membentangkan kertas kerja dalam Persidangan Kebangsaan Pendidikan Islam yang diadakan di Seremban Negeri Sembilan pada 3-6 Julai 2012 lalu. Anjuran IPG Zon Tengah. Alhamdulillah, ana diberikan ruang dan peluang membentangkan kertas kerja bertajuk : Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Arab Berbantukan Gaya Shahid al-Quran (GSQ). Terima kasih kepada pihak penganjur yang memberi laluan tersebut.

Muat turun kertas kerja lengkap di sini.

Wallahu aklam.

Ekspo Inovasi Pendidikan (EIP) 2011

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Syukur alhamdulillah dipanjatkan ke hadrat Allah SWT atas limpahan kurnianya, ana bersama dua lagi sahabat dari JAPIM (Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Mizan) berpeluang menyertai Pertandingan Inovasi sempena Ekspo Inovasi dan Penyelidikan (EIP 2011) yang bertempat di Dewan Bendahara, Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Mizan Besut Terengganu pada hari ini.

Lagi

Lahirnya artikel akademik pertamaku

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Alhamdulillah thumma alhamdulillah. Setinggi kesyukuran ku panjatkan ke hadrat Allah SWT atas kelahiran artikel akademikku yang pertama di persada dunia akademik yang sangat luas itu. Sila klik link ini untuk membaca dan/atau download artikel yang dimaksudkan. Terima kasih kepada pihak GEMA Online Jurnal yang berpangkalan di UKM atas kesudian pihak tuan menunjuk ajar, mengelola dan menguruskan hal-hal berkaitan artikel ini. Terutama atas kesudiaan menerimanya.

Lagi

Kursus KSSR (Bahasa Arab) Zon B

Lagi

Nahu al-Quran

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Setelah sebulan lebih berusaha menyiapkan pembetulan disertasi selapas tamat viva tempohari, maka hari ini, dengan rahmat dan inayah Allah SWT jua, karya kecil dalam dunia akademik yang besar itu selamat diserahkan kepada pihak PPS, UKM. Ada rezeki, dapatlah konvo akhir tahun ni kot. InsyaAllah.

Lagi

Previous Older Entries