Kitab Tashil secara percuma atau beli dan waqaf

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

1

Syukur al-Hamdulillah, dalam usaha menelusuri jejak pengajian PhD saya diberikan kesempatan membuat penelitian ataupun pemerhatian ke atas kelas pengajian kitab yang dijadikan bahan kajian saya itu di Pondok Pasir Tumbuh Kelantan. Pemerhatian dalam bentuk penglibatan secara langsung itu disebut sebagai pemerhatian peserta dalam kamus metodologi kajian. Untuk menjayakannya, saya terlibat dalam kelas tersebut sebagai pemerhati dan sekaligus sebagai peserta, iaitu menjadi salah seorang murid dari mula sampai tamat pengajian. Kelas yang saya ikuti itu bermula pada 23/4/2015 dan berakhir pada 20/7/2016, iaitu dalam tempoh satu tahun tiga bulan (15 bulan).

Kitab atau apa yang disebut sebagai korpus yang terlibat dalam kajian atau pengajian saya itu bernama Tashil Nayl al-Amani fi Sharh ‘Awamil al-Jurjani karangan al-Allamah Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fatani. Beliau melakukan sharh kepada matan ‘Awamil karangan Sheikh Abdul Qahir al-Jurjani yang masyhur sebagai pakar dalam bidang bahasa Arab khususnya ilmu Balaghah dan mukjizat al-bayan bagi al-Quran. Teorinya yang masyhur, iaitu Teori Susunan telah menarik perhatian ramai pengkaji dalam bidang berkenaan.

Sepanjang mengikuti kelas Tashil tersebut saya mendapati sedikit kesukaran meneliti teks kitab yang digunakan oleh saya sendiri dan para pelajar yang lain. Cetakan yang dimaksudkan adalah terbitan syarikat Bin Halabi yang beroperasi di Fatani, Thailand dengan tidak disebutkan tahun penerbitan. Saya mendapati tulisannya agak kecil dan menyukarkan kami membuat catatan ke atas huraian yang disampaikan oleh tuan guru yang mengajar. Ada di antara kami yang terpaksa menyalin semula teks kitab tersebut ke dalam buku khas bagi melancarkan proses catatan ilmu berkenaan.

Di samping itu juga terdapat beberapa kesalahan cetakan bahkan ada beberapa perkataan yang tertinggal. Perkara ini dikesan setelah tuan guru membuat huraian di samping rujukan kepada naskhah kedua yang dicetak oleh syarikat Khazanah Fataniyah pada tahun 2010. Syarikat yang merupakan hak milik kepada cucunda Sheikh Ahmad itu sendiri mengambil inisiatif mencetak semula kitab Tashil untuk tujuan wakaf. Namun kualiti cetakan juga masih tidak memuaskan kerana ia dihasilkan melalui cetakan fotostap dari salah sebuah manuskrip kitab berkenaan tanpa melakukan proses taip semula.

Oleh hal yang demikian, setiap kali selesai daripada mengikuti kelas bersama tuan guru di Pondok, di samping melakukan catatan Nota Lapangan bagi tujuan kajian, saya mengambil inisiatif menaip semula teks kitab ini dalam komputer. Kemudian saya letakkan baris ke atas setiap perkataannya di samping mengeluarkan rujukan (takhrij) setiap shahid al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w yang terdapat dalam kitab tersebut. Setelah selesai kesemua halaqat pengajian bersama tuan guru, saya cetak hasil usaha berkenaan dan persembahkan kepada beliau. Alhamdulillah tuan guru bersetuju untuk melakukan semakan yang teliti ke atas setiap patah perkataan termasuk baris (tashkil) dan kesasihan takhrij shahid al-Quran dan hadis tersebut.

2Setelah menjalani proses semakan selama lebih kurang empat bulan (Ogos – Disember 2016), tuan guru turut bersetuju agar kitab ini diulang cetak bagi membantu para pelajar pada masa hadapan. Segala urusan percetakan, promosi, jualan dan agihan kitab akan diambil alih sepenuhnya oleh Syarikat Sidaratul Muntaha Enterprise yang merupakan syarikat percetakan yang sedang aktif menerbitkan kitab turath milik tuan guru sendiri. Hasilnya, kini kitab Tashil diedarkan dalam dua bentuk, pertama dalam bentuk jualan biasa dengan harga RM15.00 satu naskhah untuk semenanjung Malaysia dan RM16.50 bagi Sabah dan Sarawak.

Bagi membuka ruang kepada khalayak masyarakat untuk turut terlibat dalam memartabatkan pengajian kitab turath di Pondok dan peluang amal jariah, pihak syarikat turut bersedia mengedarkan kitab Tashil berkenaan dalam bentuk Waqaf. Ini bermakna, sesiapa pun jua yang berhasrat menyumbang dalam bentuk waqaf kitab ini, boleh berbuat demikian dengan membayar RM15.00 satu naskhah kepada pihak syarikat dan kitab waqaf berkenaan akan disalurkan kepada para pelajar atau institusi Pondok yang terlibat mengajar kitab Tashil sama ada di Negeri Kelantan khususnya atau mana-mana negeri di Malaysia bahkan boleh sahaja diagihkan ke serata pelusuk Nusantara ini.

Oleh itu, saya sebagai pemilik blog ini dan juga penyumbang sedikit usaha bagi cetakan kitab Tashil oleh syarikat Sidratul Muntaha berkenaan, saya dengan rendah hati mempelawa dan mengalu-alukan siapa sahaja dalam kalangan pembaca sama ada untuk melakukan sumbangan waqaf kitab tersebut ataupun menuntut bekalan kitab untuk dijadikan bahan pengajian di pondok. Untuk itu, tuan/puan boleh berhubung terus dengan saya menerusi emel ibnrajab[at]yahoo.com atau menghantar mesej peribadi (PM) menerusi FB saya http://www.facebook.com/abubassyar

Ciri-ciri kitab Tashil Nayl al-Amani cetakan syarikat Sidratul Muntaha Enterprise, 2017:
– Dicetak dalam bentuk buku bersaiz A4 (82 muka surat).
– Ditaip dengan font yang lebih besar secara double spacing, memudahkan pelajar membuat catatan (dhabit).
– Setiap perkataan sudah lengkap diletakkan dengan baris.
– Takhrij (mengeluarkan rujukan) bagi setiap shahid al-Quran dan hadis Nabi SAW.
– Boleh didapati secara percuma bergantung kepada stok buku dari projek waqaf.

Bagi mereka yang berminat mendapatkan kitab ini dari stok waqaf kami, mereka dikehendaki menyertakan nama penuh serta no kad pengenalan, nama institusi pondok yang menganjurkan kelas berkenaan, jumlah pelajar dan juga nama serta nombor telefon guru yang mengajar bagi tujuan rekod dan rujukan kami pada masa hadapan. Maklumat ini hendaklah disalurkan melalui emel dan FB yang tersebut di atas atau klik link ini https://www.facebook.com/abubassyar

Semoga usaha ini dihitung sebagai amal soleh yang ikhlas semata-mata kerana Allah dalam memartabatkan bahasa Arab khususnya pengajian kitab turath di pondok dalam kalangan masyarakat Malaysia dan Nusantara Amnya. Apa sahaja cadangan membina, teguran dan lain-lain yang berkaitan usaha ini amatlah dialu-alukan.

Wallahu Taala Aklam, Wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Sifat Nabi terpuji: Ummiyy

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu ala manittaba’a al-huda

Sebagai sedikit cetusan minda, sempena Maulidur Rasul kali ini 1436H, saya hidangkan kembali tulisan yang pernah saya terbitkan pada tahun 2008 ini untuk tatapan tuan-tuan dan puan pengunjung setia blog yang tak seberapanya ini.. saya sangat mengalu-alukan sebarang padangan dan komentar yang membina daripada tuan-tuan.. saya sedang mempertimbangkan cadangan sahabat saya Ustaz Abdullah dan ustaz Abu Farhi tersebut.. cuma sudah tentu banyak editing perlu dilakukan untuk memperkemaskan lagi artikel yang seadanya ini.. mohon lagi komentar tuan puan guna memantapkan lagi buah isinya.. harap sudi-sudikan..

ini adalah artikel ana yang asal.. selamat bermuhasabah dan memberi sedikit komentar.. wassalam.

>>>>Ana agak terkejut mendengar satu sesi tazkirah Ramadhan yang diterbitkan dalam salah sebuah radio tempatan. Pentazkirah berkenaan melahirkan rasa terkilan kerana ada golongan para ahli agama (Islam) di negara ini yang menasabkan sifat ummiyy kepada Nabi Muhammad SAW dan diterjemahkan sebagai Nabi itu tidak tahu menulis dan tidak tahu membaca. Katanya tuduhan itu adalah melampau dan tidak realistik kepada seorang yang sangat sempurna kejadiaanya samentelah dia adalah sebaik-baik makhluk ciptaan Allah. Rasulullah!

Bagi ana, kenyataan si pentazkirah ini telah menunjukkan sifatnya yang tidak suka mengkaji, sebaliknya hanya suka membuat tafsiran perkara agama mengikut logik akal fikirannya sendiri tanpa merujuk kepada fakta-fakta atau huraian yang dilakukan oleh para ulama muktabar. Sayanglah kalau kita tidak merujuk fakta sahih kerana ia berkemungkinan menyerlahkan penguasaan ilmu agama kita yang sangat tohor.

Lagi

Salam Eidul Adha 1433H/2013

Assalamu’alaikum wbt.

Selamat menyambut dan meraikan Hari Raya Aidil Adha atau hari raya korban kepada semua pengungjung IbnRajab Online. Dengan ucapan maaf zahir dan batin, kullu am, wa antum bi alf khayr. Semoga amalan kita diterima dan dicatat amal soleh di sisi Allah SWT.

Subhanallah, maha suci Allah yang telah menjadikan hari 10 Zulhijjah sebagai hari raya untuk umat muslimin. Tarikh 10 zulhijjah telah merakamkan pelbagai sejarah dan peristiwa sejak dari zaman Nabi Adam AS sehingga Nabi Muhammad SAW. Semoga kedatangan 10 Zulhijjah pada kali ini memberi seribu keinsafan dan ketawaan kepada kita semua.

Lagi

PKPI Seremban 2012

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh..

Salam hormat kepada pengunjung setia blog IbnRajab Online ini. Sudah lama tidak menulis di sini. Banyak yang perlu dipertimbangkan. Semoga Allah SWT memberikan kelapangan pada setiap apa yang dilakukan. InsyaAllah..

Hari ini, ana nak kongsi pengalaman membentangkan kertas kerja dalam Persidangan Kebangsaan Pendidikan Islam yang diadakan di Seremban Negeri Sembilan pada 3-6 Julai 2012 lalu. Anjuran IPG Zon Tengah. Alhamdulillah, ana diberikan ruang dan peluang membentangkan kertas kerja bertajuk : Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Arab Berbantukan Gaya Shahid al-Quran (GSQ). Terima kasih kepada pihak penganjur yang memberi laluan tersebut.

Muat turun kertas kerja lengkap di sini.

Wallahu aklam.

Selamat bercuti persekolahan

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Lama juga tidak menulis di sini. Entah, mungkin ketandusan idea, kesuntukan masa, kesibukan dunia dan seribu lagi alasan kalau hendak dinyatakan. Rasanya tidak sesuai, kalau di mana-mana sahaja para pembaca dihidangan dengan luahan saja. Di fesbuk dah banyak sekali luahan-luahana orang. Di blog kalau boleh jangan ditambah lagi.

Hari ini Jumaat. Tadi imam dengan bersemangatnya berkhutbah (ekceli membaca sebenarnya) tentang tajuk keibubapaan. Katanya tanggungjawab ibubapa mendidik dan membesarkan anak-anak dengan sepenuh perhatian. Bak kata orang tua-tua, bagai menatang minyak yang penuh. Bukan macam mem’binatang’ ya, tapi menatang.

Lagi

Tahun 2012 Miladi

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Pagi ini, sempat berbual-bual dengan seorang ‘orang tua’ di kampung. Bertanya khabar dan bertukar-tukar pandangan dan mengambil nasihat serta pengajaran daripada kata-katanya.

Sambil mengeluh, beliau menyatakan “ermm.. lepas setahun, setahun masa berlalu begitu sahaja”.

“Berlalu begitu sahaja ke pakcik?” ana menyampuk.

Lagi

Teka teki berkaitan al-Quran

Salamullahi ‘alaikum warahmatullahi wabarakatuh..

Siapa-siapa dalam kalangan rakan-rakan yang ada maklumat, atau info yang jarang-jarang diketahui, diperasani oleh kita tentang al-Quran, boleh sama-sama mencatatnya di sini. Semoga amalan ini dicatat sebagai soleh di sisi Allah SWT. Untuk memulakannya: Apakah surah dalam al-Quran yang tidak ada padanya huruf (Fa’)?

Bersama menghayati keindahan al-Quran.. mencintai al-Quran dan dicintai oleh al-Quran, seterusnya mendapat rahmat dan kasih sayang Allah, tuhan yang menurunkan al-Quran.

Pilihan yang buruk

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Dalam kehidupan di dunia ini, Allah SWT sengaja mewujudkan dua cabang pilihan bagi manusia. Cabang pilihan berkenaan tidak lain dan tidak bukan, hanya bertujuan menguji manusia itu sendiri sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT. Dua cabang pilihan tersebut adalah, kebaikan dan keburukan.

Lagi

PASAK

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Seusai ana menyampaikan kuliah tafsir pada suatu malam, ana disapa oleh seorang rakan yang juga peserta setia siri kuliah tafsir saya di masjid al-Muttaqin Sarikei. Pada malam tersebut ana menyampaikan tafsir surah al-Baqarah ayat 23 yang bermaksud: Dan sekiranya kamu wahai orang-orang kafir, merasa ragu-ragu dengan apa yang kami telah turunkan kepada Muhammad (al-Quran) maka kamu bawalah satu surah sahaja yang mampu menandinginya (al-Quran sama ada daripada segi fakta, gaya bahasa dan lain-lain), dan kamu bawalah saksi-saksi di pihak kamu selain Allah (yang dapat menyaksikan kesasihan dakwaan kamu itu) sekiranya kamu benar-benar (mampu menandingi al-Quran).

Lagi

Tafsir al-Baqarah ayat 24

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Pada ayat 23 yang lepas, Allah SWT telah menerangkan bahawa, orang-orang yang tidak mahu menerima hakikat kebenaran al-Quran, iaitu mereka yang kekal kafir (tidak tunduk dan patuh kepada Allah) selepas mendengar keterangan-keterangan Allah melalui al-Quran yang tidak ada keraguan padanya itu, mereka akan dimasukkan ke dalam Neraka pada hari akhirat kelak. Pada hari itu, mereka sudah tiada pilihan lagi selain apa yang Allah putuskan buat mereka, berbanding di dunia ini, mereka tidak dipaksa tetapi memilih untuk tidak mempercayai kebenaran al-Quran.

Lagi

Previous Older Entries