Syaitan kita bertukar

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Salam hormat buat pengunjung budiman.

Bunyi macam pelik je kan tajuk ana pada kali ini? Yalah, pada bulan Ramadhan ni, semua syaitan dirantai mengikut sabdaan Rasulullah SAW. Alhamdulillah, kita patut bersyukur atas bantuan ilahi rabbani tersebut. Ramadhan sebuah bulan yang dibukakan pintu syurga seluas-luasnya dan ditutup pintu neraka, maksudnya dibuka ruang dan peluang menambah amalan yang dapat menyelamatkan manusia daripada dihumban ke neraka sebaliknya dengan rahmat Allah atas usaha taat yang dilakukan, memudahkan mereka mengumpul pahala untuk ke syurga.

Lagi

Marhaban Ramadhan 1433H

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Ke hadapan para pengunjung yang dirahmati Allah.

Alhamdulillah, kita semua masih dipanjang usia sehingga kita bertemu kembali dengan bulan Ramadhan, sebuah bulan ruang dan peluang yang disediakan oleh Allah kepada umat Islam, bagi mencari nilai yang tertinggi di sisiNya iaitu taqwa. Sesungguhnya, sebaik-baik bekalan di dunia untuk dibawa berhadapan dengan Yang Maha Pencipta di akhirat adalah “Taqwa” itulah juga(mafhum al-Quran).

Lagi

Teruskan usaha

Salamullahi ‘alaikum warahmatuhu wabarakatuh.

Ana mengambil kesempatan ini untuk berpesan kepada diri sendiri dan saudara/i pelawat sekalian, agar sama-sama kita meneruskan usaha, bahkan melipat gandakan usaha melakukan ibadah khusus kepada Allah, di dalam mencari pahala berganda di malam lailatul qadr tahun ini. Usahlah membazir masa dengan menonton tv, mendengar radio atau surf internet semata-mata. Perkara ini boleh dilakukan bila-bila masa selepas ini.

Ana selalu mengatakan kepada diri sendiri sekiranya nak sangat tengok rancangan tv yang pada masa itu difikirkan bagus, rugi tak tengok “esok atau lusa rancangannya pasti akan lebih menarik, lebih berteknologi (sebab kadang-kadang ana suka tengok cerita yang banyak guna teknologi spt matrik, CSI dll itu), kerana setiap hari, setiap masa orang (pembikin filem) akan buat yang lebih baik dari hari ini, cuma kita sahaja yang lalai lalu menjadikan hari ini sama macam semalam atau lebih buruk. Wal ‘iya zubillah.

10 hari terakhir Ramadhan hanya tinggal 5 malam sahaja lagi. Carilah dan bagilah semangan kepada keluarga sendiri (isteri dan anak-anak) untuk sama-sama mengimarahkannya. Tak rugi pun kalau tak cukup tidur hanya untuk beberapa malam terakhir ini. Dan tak rugi sangat pun kalau tak ikuti program-program (tv, hiburan dll) menarik yang sengaja disusun (diasas) oleh orang bukan Islam untuk menghancurkan orang-orang Islam yang beriman.

Semoga sama-sama berjuang mencari yang terbaik. Wallahu aklam.

Lailatul Qadr

Bismillahirrahmanirrahim

Hari ini adalah hari ke-21 umat Islam berpuasa. Hanya tinggal beberapa hari lagi, tirai bulan mulia ini akan berlabuh. Beruntung sangatlah bagi orang yang mendapat hidayah Allah seterusnya merebut peluang menggandakan pahala amalan mereka di bulan mulia ini. Cuma bagi kita, kalau masih belum memulakan langkah bersungguh-sungguh dalam beribadat (khusus) itu, peluang 10 malam terakhir ini jangan lagi disia-siakan.

Semua sedia maklum bahawa, lailatul qadr adalah satu malam yang terlebih baik nilai amalan padanya dari 1000 bulan (83 tahun 4 bulan). Kalau seseorang berdoa, maka seoalah-olah berdoa selama itu. Kalau solat pun pahalanya seperti solat dalam masa itu. Apa sahaja amalan, akan dihitung dan digandakan dengan pahala amalan seribu bulan.

Namun perlu diingati bahawa, ada sesetengah ulama berpendapat bahawa, pada malam lailatul qadr itu juga, amalan yang tidak baik pun akan digandakan dosanya seperti amalan 1000 bulan. Kerana ayat tentang amalan itu umum. Kalau baik maka baiklah tetapi kalau sebaliknya, maka akan mendapat habuan sebaliknya. Sepatutnya umat Islam yang beriman peka dengan perkara ini. Kalaupun malas sangat untuk mendirikan malam lailatul qadr dengan amalan yang baik seperti solat, zikir, membaca al-quran dan lain-lain, janganlah pula melakukan maksiat pada malam tersebut. Lebih baik tidur daripada melalukan maksiat. 

Lebih baik dicatat pahala tidur selama 1000 bulan. Oleh itu, sebelum tidur pada malam-malam terakhir ramadhan ini, eloklah dipasang niat yang ikhlas ingin bangun beribadah. Kalau boleh, ambillah wudhuk dahulu sebelum tidur. Bacalah surah-surah ringkas yang memang dihafaz seperti surah al-ikhlas, qul auzubirabbil falaq dan qul auzubirabbinnas itu. Jangan terlalu malas untuk mengucapkan selawat ke atas Rasulullah juga.

Lailatul qadr sebenarnya tidak diketahui oleh manusia bilakah ia. Hanya Allah yang Maha Mengetahui. Tetapi para ulama bersepakat ianya berlaku pada malam-malam bulan Ramadhan kerana al-Quran itu diturunkan pada bulan ini. Ayat yang menyatakan tentang malam lailatul qadr juga adalah ayat al-quran. Ulama juga bersepakat bahawa ianya berlaku pada malam-malam terakhir (10 malam terakhir) bulan Ramadhan berdasarkan hadith-hadith sahih daripada Rasulullah SAW.

Lailatul qadr ini hanya anugerah Allah kepada umat nabi Muhammad SAW sahaja. Tidak pernah ada pada zaman umat nabi-nabi sebelum Baginda. Inilah antara keistimewaan umat ini yang suatu ketika dinyatakan oleh Allah dalam al-Quran “Kamu (umat akhir zaman) adalah sebaik-baik umat manusia”.

Suatu ketika Rasulullah bercerita kepada para sahabatnya. Bahawa umur umat-umat terdahulu panjang. Ada yang mencapai ribuan tahun seperti umat nabi Nuh. Tetapi purata umat nabi-nabi terdahulu adalah lebih daripada 80 tahun. Cuma umat akhir zaman ini, umur mereka kurang sedikit. Iaitu sekitar umur Nabi Muhammad antara 60-73 tahun sahaja. Nabi sendiri pun wafat pada umurnya 63 tahun.

Maka dengan itu, kerana Allah ingin sangat memuliakan umat Nabi Muhammad ini, maka dengan izinNya ditetapkan satu malam dalam setahun yang mana pahala amalan padanya adalah terlebih baik dari 1000 bulan. Bayangkanlah wahai saudara, betapa kasih dan sayangnya Allah kepada umat ini. Bayangkanlah sekiranya seseorang dapat menjenguk lailatul qadr setiap tahun dari umurnya 15 tahun (baligh) sehingga dia bertemu Allah (mungkin pada umur 63 tahun). Betapa banyak pahala amalan mereka itu.

Oleh yang demikian. Sangatlah dukacitanya seseorang yang kalaulah mereka tahu kelebihan ini, tetapi sengaja mengabaikannya. Lebih baik kita sedar pada masa sekarang yang masih boleh kita usahakan untuk mendapat lailatul qadr. Daripada kita disedarkan oleh Allah setelah mata kasar kita ini ditutup buat selama-lamanya dan dibukakan mata hakiki yang dapat melihat segala-gala yang dijanjikan Allah. Yang berbentuk pahala, dosa, syurga dan neraka itu.

Marilah kita menjadi yang terbaik daripada kalangan yang baik-baik. Kita boleh berusaha walaupun yang mengira terbaik itu adalah Allah.

Semoga bermanfaaat. Wallahu aklam.

Ajar anak puasa

Bismillahirrahmanirrahim

Dalam sebulan puasa ini (tak cukup lagi sebulan sebenarnya), isteri ana selalu cakap pada anak lelakinya “Anak ustaz apa, tak malu tak puasa”. Kadang-kadang terpaling juga muka ana ini memandang wajah anak lelaki ana yang sulong itu. Dek ngomelan (ikhlas) ibunya. Kadang-kadang yang lain pula, ana tersoal diri sendiri, pada umur berapa ana dulu mula berpuasa?

Sebenarnya (dia) bukan tak puasa. Tapi orang kata ‘puasa separuh hari’. Adiknya selalu gelar ‘Abang puasa yok-yok’ dalam nada menyakat. Kadang-kadang tergelak juga melihat gelagat anak-anak. Sebab si adik tu sedap-sedap komen si abangnya. Walaupun dia sendiri awal pagi sudah merengek minta susu. Seingat ana dahulu, adiklah yang puasa (cukup) lebih awal dari diri ana sendiri.

Ada orang tanya ana “Ajar anak puasa dari umur kecil-kecil tu ada hadith tak ustaz? Ayat al-Quran ka?” Terpanggil juga ana untuk membelek-belek ayat al-Quran. Tercari-cari dalam tafsir. Kalau ikut ayat (mewajibkan puasa) 183 surah al-Baqarah itu, tuntutan puasa adalah ke atas orang Islam, akil dan baligh. Serta dibincangkan orang-orang (tadi) yang dibenarkan meninggalkan puasa seperti bermusafir, sakit juga hal-hal lain yang berkaitan seperti haid dan nifas.

Bila lihat hadith (yang dapat dicapai oleh ana sahaja) juga tidak ada yang mengaitkan puasa kanak-kanak secara langsung. Kalau ajar solat, hadithnya memang jelas. Sabda Rasulullah SAW “Ajarlah anak-anakmu solat ketika umur mereka tujuh tahun dan rotan mereka (sekiranya enggan solat) pada umur 10 tahun. Dan perbincangan ulama tentang hadith tersebut begitu panjang sehingga melampaui hukum ‘bunuh’ (yang perlu dijalankan oleh pihak berkuasa bukannya individu seperti ibu atau bapa) bagi mereka yang ‘ingkar’ solat setelah diberi peluang bertaubat. Dahsyat, dan anda jangan tidak tahu dan menganggap solat ini perkara remeh temeh.

Cuma apabila belajar ilmu usul fiqh. Di sana ada kaedah, seperti qias (membandingkan sesuatu yang tiada hukumnya (di sini ajar anak) dengan sesuatu yang telah jelas hukumnya). Fikir ana, kaedah ini mungkin digunakan dalam tuntutan mengajar anak berpuasa sejak awal. Seawal usia tujuh tahun. Dan juga merotan anak sekiranya enggan puasa pada umur sepuluh tahun. Sebab apa qias, kerana darjat tuntutan solat dan puasa berada pada tingkat (fardhu) yang sama.

Dan anda seperti ana, wajib mengajar anak-anak berpuasa sedari umur tujuh tahun (atau lebih awal) dengan menggesa mereka bertatih-tatih dalam melakukannya. Tak sempurna macam kita terus pun tak apa. Sekurang-kurangnya anak-anak tahu tuntutan yang sepatutnya dalam berpuasa.

Ajarannya pula bukan sekadar (dan terhenti setakat) meninggalkan makan dan minum sahaja, malah melampaui kepada perkara-perkara lain yang membatalkan puasa. Termasuklah juga mengajar untuk memperolehi puasa berkualiti dengan meninggalkan segala larangan-larangan Allah secara keseluruhannya. Seperti larangan membuka aurat, larangan berbohong dan sebagainya. Wajib ajar.

Paling penting mengajar mereka untuk solat. Kerana mengajar anak-anak berpuasa itu diambil daripada hadith mengajar anak-anak solat. Sudah tentu solat mendapat prioriti pertama kerana ia adalah asal. Jangan sekali-kali seronok ajar anak berpuasa tetapi tidak tegur langsung tentang solat mereka. Bahkan solat itulah asasnya. Tiang agama. Anak-anak yang rajin dan istiqamah solat, senang untuk berpuasa (secara berkualiti) sebenarnya. Tetapi bukan sebaliknya.

Bassyar, setelah diuli, dipujuk, diberi faham dan macam-macam, akhirnya semalam 12 Ramadhan, dia berpuasa penuh. Itulah puasa penuh pertama dalam sejarah hidupnya. Anak sulung ana (kami sebenarnya). Semoga semangat untuk berpuasa tersemadi dalam diri, akhirnya menjadi pemangkin ke arah mentaati segala perintah Allah seawal usia yang mungkin.

Rahsianya semalam kami merancang untuk berbuka puasa di rumah mak mertua ana. Berkumpul adik beradik belah isteri ramai-ramai. Berbuka sama-sama. Perkara ini diberitahu awal kepada Bassyar dan membayangkan kepadanya betapa seronok buka puasa ramai-ramai. Bersama sepupu-sepupu, bapa dan mak saudara serta atuk dan nenek. Alhamdulillah kami semua berbuka puasa semalam termasuklah Bassyar. Dalam mendidik anak ini, kadang-kadang perubahan mood dan suasana itu penting juga.

Semoga kita semua berjaya di dalam mendidik anak-anak menjadi anak yang soleh dan solehah. Beramal dan berpegang teguh dengan ajaran Islam sebagai jati diri mereka. Segalanya mesti berperancangan, iaitu bukan sekadar membanding anak-anak kita dengan anak orang lain. Kerana Allah SWT tidak menggunakan perbandingan dalam memberi pahala dan dosa kepada hamba-hambaNya, sebaliknya ilmu, iman, taqwa itulah nilaian di sisi Allah. Jauh sekali takabur dan menunjuk-nunjuk itu adalah ukurannya.

Sekian, wallahu aklam.

Matlamat Puasa Ramadhan 1

Bismillahirrahmanirrahim

Khairu ma uhayyikum bitahiyyatil Islam. Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Alhamdulillah, wassolatu wassalamu ala rasulillah, wa ala alihi wa atbaihi wa man walah.

Tuan iman, penghulu, muslimin, muslimat, hadirin hadirat yang saya kasihi sekalian. Terima kasih tuan imam dan hadirin sekalian atas peluang yang diberikan ini. Sesungguhnya tujuan saya bercakap pada pagi yang harmoni ini adalah untuk tazkirahkan diri saya sendiri sebenarnya. Kemudian kalau ada yang boleh dikongsikan oleh tuan-tuan, maka sama-samalah kita mengamabil manfaat daripadanya. Oleh itu, sekiranya ada terkasar bahasa, saya terlebih dahulu mohon ampun dan maaf. Sesungguhnya saya inginkan, hanyalah yang baik-baik belaka. InsyaAllah.

Pertamanya marilah kita merafa’kan syukur ke hadrat Allah kerana masih memberi peluang kita berada di sini dan pada Ramadhan kali ini. Maka dengannya dapatlah kita menambah bekalan persiapan menuju hari akhir. Sesungguhnya, kalau kita perhatikan, mungkin ada dalam kalangan kita, yang sebelum ini ada bersama-sama kita, tetapi mereka lebih dahulu dijemput oleh Allah.

Mungkin mereka ibu atau bapa kita, adik beradik kita, rakan karib kita, jiran kita atau siapa sahaja yang dahulunya dapat sama-sama menyambut Ramadhan dan sama-sama beribadah di dalamnya, kini mereka telah tiada. Mungkin akan tiba masanya, kita pula akan dijemput menghadap Ilahi. Tetapi, yang jelasnya, hari ini, diri saya termasuk tuan-tuan yang ada dihadapan saya ini, masih lagi diberi ruang dan peluang oleh Allah, menambah amal ibadah serta persiapan untuk dipersembahkan di hadapan al-Khalik kelak. Dan sebaik-baik persiapan kata Allah, adalah nilai taqwa.

Bersempena bulan Ramadhan yang Allah fardhukan ke atas diri kita berpuasa ini, marilah sama-sama kita semak kembali apakah matlamat daripada puasa ramadhan itu sendiri? Kerana setiap perkara, kita perhatikan ada bersamanya matlamat yang jelas. Apa sahaja yang kita lakukan, mestilah ada matlamat agar kita tahu apa yang hendak dicapai. Dan bagaimana mengusahakannya. Serta untuk motivasi juga.

Sebuah syarikat, ada matlamatnya, begitu juga pejabat kerajaan, pegawai kerajaan dan sesiapa sahaja, mereka semua ada matlamat di dalam melakukan sesuatu. Jika ia sebuah syarikat, maka matlamatnya sudah tentulah agar syarikat mereka maju, berkembang pesat, mendapat untung yang banyak, memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat dan sebagainya. Begitu juga kalau ia seorang guru, seorang pegawai kerajaan, sudah tentu ada matlamat. sebagai contoh untuk berkhidmat kepada masyarakat dan berbakti kepada negara. Agama dan bangsa.

Biasa jika seseorang pergi melapor diri untuk bekerja. Maka majikan akan ingatkan mereka terlebih dahulu, tentang matlamat pekerjaannya itu. Pekerja itu sendiri pun hendaklah sanggup dan bersedia berusaha bersama-sama dengan majikan dan para pekerja lain demi merealisasikan matlamat syarikat mereka. Pengantin baru juga, pada malam pertama, biasanya mereka membentangkan matlamat membina rumahtangga itu. Si suami menyatakan itu dan ini dibantu (lengkapkan) pula oleh si isteri. Agar matlamat menjadi jelas dan mudah diusahakan agar ia menjadi kenyataan.

Begitu juga halnya dengan puasa. Kalau manusia pandai tentukan matlamat yang hendak dicapai, maka Allah juga telah gariskan matlamat untuk mereka. Tak perlu susah-susah mereka fikirkan. Dalam ayat 183 surah al-Baqarrah, telah jelas Allah berfirman (mafhumnya): Wahai orang-orang beriman, telah ditentukan (diwajibkan) ke atas kamu berpuasa sepertimana telah ditentukan ke atas umat sebelum kamu, mudah-mudahan kamu mencapai (nilai) taqwa.

Daripada ayat ini, ada beberapa perkara yang boleh kita perhatikan. Pertamanya, matlamat puasa ramadhan yang jelas iaitu agar manusia berpuasa itu memperolehi nilai ketaqwaan. Taqwa merupakan suatu nilai perlu bagi manusia. Nilai taqwa berupaya menjadikan seseorang taat dan patuh segala suruhan dan larangan Allah. Nilai ini perlu diuar-uarkan kepada manusia sekerap yang mungkin agar mereka tidak lupa. Sehinggakan setiap kali khatib berkhutbah, pesanan kepada taqwa telah menjadi rukunnya. Sekiranya seorang khatib terlupa memesan taqwa ini, maka khutbahnya menjadi tidak sah.

Dan di sini, melalui ayat ini, Allah sebut sekali lagi bahawa, matlamat daripada kamu berpuasa adalah untuk mencapai taqwa. Oleh yang demikian, sepatutnya kita sedar. Kerana sebagai manusia biasa, kita akan mudah ingat dan mudah peka sekiranya sesuatu itu diulang-ulang sentiasa. Setiap hari jumaat diulang-ulanginya, baca ayat seruan puasa pula, telah nyata sekali lagi pesannya. Agar menjadikan matlamat berpuasa itu adalah taqwa.

Apabila seseorang sedar akan kepentingan taqwa, yang Allah SWT ungkapkan sebagai sebaik-baik bekalan ke hari akhirat (pada ayat al-Quran yang lain) itu, maka ia akan bertanya-tanyakan apakah nilai taqwa itu? Bagaimana cara mendapat dan memiliki nilai itu? Apakah ciri-ciri orang yang bertaqwa? dan pelbagai persoalan yang akan menjadikan mereka faham serta menjadikan mereka orang-orang yang praktikal taqwa. Bukan sekadar teori dan matlamat yang hanya menghiasi dinding-dinding pejabat sahaja, malah terpahat teguh di dalam hati serta digilap dan diasah setiap hari agar matlamat tersebut semakin hari semakin jelas, semakin hari semakin mulia dan tinggi nilainya.

Apakah nilai taqwa? Secara ringkasnya sebagaimana yang saya sebutkan tadi, taqwa adalah taat dan patuh segala arahan dan larangan Allah. Ianya boleh diterjemahkan atau boleh ditafsirkan, dihuraikan melalui pelbagai cara. Sebagai contoh, seorang khatib yang berpesan (taqwa) kepada para ahli jemaah apabila memulakan khutbah, selepas itu beliau akan bercakap pula berkenaan dengan kasih sayang, sifat-sifat mulia seperti sabar, menghuraikan tentang pengharaman judi, riba dan sebagainya. Itu merupakan syarah, atau tafsiran, atau pendetailan kepada nilai taqwa itu sendiri. Maka setiap tajuk khutbah dan segala isi-isinya itu adalah penjelasan kepada nilai taqwa yang ingin dicapai itu.

Sebagai contoh yang lain, dalam bulan ramadhan ini, sekiranya seseorang bercakap tentang keihklasan mereka berpuasa. Tingkatan dan darjat puasa yang berbeza-beza. Ada puasa orang awam, ada puasa tingkatan khusus dan ada pula tingkatan khususul khusus. Itu juga merupakan penjelasan terperinci tentang taqwa. Sekiranya anda melihat kepada sifat menahan diri pada bulan puasa, yang bukan sahaja terhad kepada menahan diri daripada makan dan minum sahaja, bahkan jauh daripada itu, menahan diri daripada segala kemahuan nafsu seperti mengata orang, melakukan muamalah riba dengan menyimpan di bank-bank riba, mengambil hiburan yang melalaikan, melihat aurat orang lain, melakukan rasuah, pecah amanah dan sebagainya yang dilarang dalam agama, maka itulah nilai taqwa yang hendak dicapai.

Sebab itulah secara ringkasnya, taqwa ini diertikan sebagai, melakukan setiap suruhan Allah dengan penuh keihklasan, serta meninggalkan larangan Allah dengan ikhlas juga. Diringkaskan lagi dengan ayat: melakukan taat dan meninggalkan maksiat. Maka apa sahaja yang menjurus kepada itu, ia adalah taqwa. Dan perkara ini tidak akan datang bergolek ke pintu rumah kita. Ia perlu dipelajari. Dituntut dan dicari. Sebab itu, kita tidak boleh rasakan bahawa ilmu kita ini telah lengkap. Kita perlu menjadi penuntut ilmu sampai bila-bila, samada secara rasmi (seperti belajar di universiti) atau tidak rasmi seperti di masjid dan surau ini, dan sebagainya. Hari ini, saluran untuk menambah ilmu agama memang luas dan banyak. Terpulang kepada kita untuk mengikutinya.

Jadi sekadar itu dahulu untuk sesi kali ini, insyaAllah panjang umur kita akan sambung bicara lagi. Dengan itu, saya memohon ampun dan maaf sekiranya ada terkasar bahasa sepanjang sesi tazkirah ringkas ini. Sekali lagi terima kasih kepada tuan imam kerana sudi memberi laluan untuk saya pada pagi ini. Aqulu qauli haza, wa astaghfirullaha li wa lakum ajmain, walhamdulillahi rabbil alamin. Wallahu aklam, wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Baca Quran

Bismillahirrahmanirrahim

Di bulan Ramadhan yang mulia ini, kita digalakkan memperbanyakkan bacaan al-Quran. Mafhum pesanan Nabi SAW bahawa setiap huruf al-Quran itu akan diberikan 10 pahala. Pahala adalah balasan baik yang Allah sediakan kepada manusia di akhirat. Dia perlu diusaha dan dikumpul di dunia agar akhirat seseorang akan menjadi selamat.

Pesan Nabi “Bukannya Alif Laam Mim itu satu huruf, tetapi Alif itu satu huruf, Laam itu satu huruf dan Mim itu satu huruf”. Maksudnya sekiranya kita membaca awal surah al-Baqarah itu kita telah memperolehi 30 pahala. Kalau kita membaca awal surah al-fatihah iaitu “Bismillahirrahmanirrahim” yang mengandungi 19 huruf itu, kita akan perolehi 190 pahala. Begitulah seterusnya.

Ditambahkan pula pada bulan Ramadhan yang Allah sengaja sediakan bagi umat Nabi Muhammad SAW. Pada bulan ini, setiap amalan akan diberikan ganjaran pahala yang berlipat kali gandanya. Perkara sunat akan diberikan nilai pahala amalan wajib. Yang wajib pula akan digandakan 70. Umrah akan dinilai pahala ibadah Haji. Sedekah akan nilai pahala Zakat dan sebagainya. Malah Allah memberikan kurniaan (pahala) kepada hamba-hambaNya mengikut kesukaanNya. Asalkan si hamba itu ikhlas semata-mata keranaNya.

Di bulan Ramadhan yang mulia ini, elok kita merancang untuk (paling kurang) khatam baca al-Quran. Walaupun sekali. Kalau tidak dapat secara individu, boleh dilakukan secara berkumpulan iaitu dengan bertadarrus al-Quran. Ia boleh dilakukan di masjid atau surau. Di rumah. Ataupun di pejabat semasa rehat tengahari. Di mana-mana sahaja. Orang kata di mana ada kemahuan, di situ Allah tunjukkan jalan.

Sekiranya anda mampu membaca secara individu. Elok sekiranya anda merancang untuk habiskan satu juzuk dalam sehari. Dalam masa sebulan ini (30) hari, anda dapat khatam sekali. Dalam satu juzuk al-Quran (Rasm Uthmani) itu terbahagi kepada 8 rubu’ (cadangan tempat berhenti). Dalam sehari pula anda solat 5 waktu. Selepas solat subuh, elok anda habiskan 3 rubu’. Kemudian disusuli 2 rubu’ selepas solat zohor dan 1 rubu’ selepas asar (kerana mungkin anda telah terasa sedikit penat).

Selepas solat maghrib, mungkin anda boleh baca 1 rubu’ lagi kerana masa yang ada sangat terhad (selepas berbuka dan bersiap-siap pula untuk solat isyak dan tarawih). Selepas solat tarawih, ambil masa sedikit lagi untuk menghabiskan 1 rubu’. Kini anda telah sempurnakan satu juzuk dalam kiraan (3+2+1+1+1) rubu’.

Sekiranya anda berazam untuk khatam al-Quran pada malam 27 Ramadhan (kerana ada sebahagian ulama berpendapat ia adalah malam lailatul qadr). Maka untuk 10 hari pertama bermula hari 1-10 Ramadhan anda hendaklah habiskan 11 juzuk. Caranya ialah anda perlu baca sehingga juzuk ke-2 pada hari pertama puasa. Maksudnya jika anda puasa hari ke-3, anda sedang menghabiskan juzuk ke-4. Begitulah seterusnya sehingga hari 10.

Apabila masuk hari 11, anda perlu baca dua juzuk. Iaitu anda perlu berada pada juzuk ke-13. Seterusnya apabila hari ke-12 puasa anda sedang membaca juzuk ke-14. Begitulah seterusnya sehingga hari 20. Apabila masuk hari 21, anda juga perlu baca dua juzuk. Iaitu anda perlu membaca sehingga juzuk ke-24. Hari 22 anda sedang membaca juzuk 25. Dan seterusnya sehingga hari 27 anda habiskan membaca kesemua 30 juzuk.

Semoga azam kita untuk khatam al-Quran walaupun sekali pada Ramadhan kali ini akan kesampaian. Kalaupun tidak dapat khatam seawal 27 Ramadhan, paling kurang malam raya itu kita khatam juga. Tetapi, sekiranya kita dapat khatam awal, mungkin ada rasa lebih bahagia sedikit. Pengalaman ini perlu kita usahakan selagi peluang dan hayat masih dikandung badan. Kata Sayyid Qutb “Kehidupan di bawah naungan al-Quran itu, suatu nikmat yang tidak dapat dirasai kecuali oleh mereka yang telah merasainya”.

Ini adalah nasihat untuk diri sendiri. Wallahu aklam.

Fidyah

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Fidyah ialah memberi makan kepada orang-orang miskin dengan satu cupak makanan asasi untuk setiap satu hari puasa Ramadhan yang ditinggalkan kerana sebab-sebab yang tertentu. Fidyah juga adalah denda yang dikenakan ke atas seseorang kerana melewatkan puasa ganti sehingga masuk Ramadhan yang seterusnya.

Sebab fidyah
1. Orang yang terlalu tua atau orang sakit yang tiada harapan sembuh
Mereka tidak perlu menggantikan puasa, tetapi membayar fidyah satu cupak makanan asasi bagi setiap hari yang ditinggalkan.

2. Perempuan hamil atau menyusukan anak
Sekiranya seorang ibu yang sedang mengandung atau sedang menyusukan anak meninggalkan puasanya kerana bimbang mudharat ke atas dirinya, wajib atasnya qadha’ sahaja. Manakala jika ia bimbang mudharat ke atas dirinya dan anaknya (seperti keguguran atau kekurangan air susu) maka wajib atasnya qadha’ dan bayar fidyah. Begitu juga sekiranya ia bimbang mudharat hanya kepada anaknya, ia juga perlu qadha’ dan bayar fidyah.

3. Orang yang meninggal dunia
Bagi mereka yang meninggalkan dunia tetapi masih belum habis menggantikan puasanya maka hendaklah disempurnakan dengan bayaran fidyah mengikut baki hari yang belum digantikan.

4. Melambatkan ganti puasa (kerana haid atau nifas)
Bagi mereka yang tidak sempat habis puasa ganti (dengan sengaja atau berlengah-lengah) sehingga masuk Ramadhan tahun berikutnya maka wajib bayar fidyah serta wajib ganti puasa tadi selepas Ramadhan.

Kiraan fidyah
fidyah akan bertambah mengikut tahun tetapi puasa tidak bertambah. Sebagai contoh, seorang wanita yang tidak pernah ganti puasanya (yang ditinggalkan kerana haid sebanyak 7 hari dalam bulan Ramdhan setiap tahun) selama 3 tahun berturut-turut, dan tidak pernah pula membayar fidyah, maka jumlah puasa yang perlu diganti (qadha) adalah 21 (7X3) hari dan fidyah yang perlu dibayar berjumlah 42 (21+14+7). 21 itu untuk fidyah tahun pertama (7×3), 14 itu untuk fidyah tahun kedua (7×2) dan 7 itu untuk tahun lepas (7×1).

Klik di sini untuk membantu anda mengira fidyah secara online.

Kadar fidyah
Kadar fidyah adalah secupak, iaitu 1/4 gantang. Segantang beras itu pula adalah nisab zakat. Maka fidyah ditentukan dengan kadar 1/4 daripada nisab zakat bagi satu-satu tahun hijrah. Sebagai contoh nisab zakat tahun ini ialah RM7.20 maka kadar fidyah adalah RM1.80

Masa bayar fidyah
Fidyah sepatutnya dibayar setiap hari yang tidak puasa. Iaitu kalau seorang itu tidak puasa hari ini, maka sepatutnya ia dibayar hari ini (Iaitu keadaan orang tua atau orang sakit yang tiada harapan sembuh atau perempuan mengandung atau menyusukan anak). Tetapi boleh juga jika ia dibayar sebelum solat sunat hariraya aidil fitri kerana ia lebih menggembirakan si penerimanya untuk menyambut hari raya.

Begitu juga bagi yang tidak sempat ganti puasa. Seeloknya apabila masuk Ramadhan ia membayar mengikut jumlah sepatutnya dia ganti puasa. Tetapi sekiranya ia tidak bayar fidyah itu, maka fidyahnya akan bertambah pada tahun hadapan. Begitulah seterusnya seperti kiraan di atas. Sebaliknya, kalau ia bayar fidyah setiap tahun untuk jumlah puasa yang tidak dihabiskan itu, maka fidyahnya tidaklah digandakan. Maksudnya sekiranya jumlah ganti puasa itu 21 maka fidyah pun 21 (untuk tiga tahun tidak ganti puasa tetapi bayar fidyah setiap Ramadhan).

Wallahu aklam..

Rujukan: Kitab al-Iqna’. Jilid 1. Cetakan 1994 muka surat 488 dan Kitab Fiqh al-Manhaji. Jilid 2 muka surat 94. Juga laman web e-Zakat