Selamat pulang ke pangkuan keluarga

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh..

Alhamdulillah atas kesempatan ruang masa maka sempat kita bersua kata di blog ini. Sudah sangat lama tidak updated. Masa sangat cepat pula berlalu. Sedar tak sedar, dah beberapa bulan tidak mencatat sesuatu. Kerja lebih banyak daripada masa. Lagipun, bila ada FB, banyak ilmu telah dicurahkan ke situ. Kepada rakan-rakan pengunjung yang ingin berkongsi, add ana di FB dengan email: pubmutual[at]gmail.com

Lagi

Advertisements

Kesihatan mental

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Sehari dua ni, ana kerap berkunjung ke klinik. Maklum saja musim tengkujuh mudah pula anak-anak terkena demam tiba-tiba, sakit perut, selesema, batuk dan macam-macam dugaan. Kadang-kadang ada juga suara masuk ke telinga ana “macam tu lah dulu, nak tunggu anak-anak besar, macam-macam macam ni lah, demam, menangis, bergurau berlebih-lebih, bergaduh sana-sini, hingga mencabar minda mak ayah”.

Ana akur dengan pengakuan ikhlas sebegitu. Iyalah, kalau anak-anak yang ditatang bagai minyak yang penuh itu, setelah besar dan dapat pula berbuat bakti kepada orang tua, alangkah berbaloinya. Tetapi sekiranya anak-anak yang dipelihara dengan baik, dijaga makan minum mencukupi, dihantar belajar tinggi-tinggi, sakit demam anak diperhati, tiba-tiba bila sudah besar, sudah punyai kehidupan sendiri, ibu ayah bukan sahaja dilupai, malah ada yang sanggup… (anda bebas untuk menyambung ayat-ayat ini)

Lagi

Pengalaman lagi

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh..

Alhamdulillah, thumma alhamdulillah

Beberapa kali ana memula taip dan memberhentikannya dan memulakannya semula. Terlalu berat rasanya untuk ana menulis artikel ini. Tetapi apabila ana terfikir kemungkinan (kalaupun tidak hari ini) ia dapat dijadikan tazkirah atau panduan oleh ana sendiri, atau anak-anak atau sesiapa sahaja maka ana rasa ia patut diteruskan.

Setelah genap tujuh hari tujuh malam ana terlentang di atas perbaringan kerana diuji oleh Allah dengan demam, selsema, batuk dan sengal-sengal (sakit urat) di bahagian pinggang hingga ke kaki,  maka hari ini dengan izin Allah jua ana dapat bangun dan meneruskan kehidupan seperti biasa. Dalam tempoh masa tersebut, entah kenapa, dan mungkin kerana faktor usia, beberapa kali juga ana terfikir kemungkinan sakit ini akan membawa ana berjumpaNya.

Tok guru pernah berpesan dalam bahasa kiasannya yang hikmah “Kita ini, lahir ke dunia dengan disertakan bersama (oleh Allah) sebanyak 99 jerat. Salah satu daripadanya adalah jerat yang membawa kita kembali kepadaNya (kematian). Kita tidak pernah tahu, tidak diberitahu dan tidak akan tahu jerat yang nombor ke berapa akan membawa kita sendiri kembali. Mungkin ada orang, kena jerat pertama telah dijemputNya. Ada orang lain, hingga jerat ke 99”

Mengikut kefahaman ana yang tohor ini, jerat yang guru ana maksudkan itu adalah kesakitan. Tidak kira berapa sedikit atau banyak kesakitan itu, ia berkemungkinan boleh membawa kematian jika Allah menginginkannya. Ditimpa kecelakaan di jalanraya pun orang mati, tidak terkecuali kemalangan kecil di rumah atau dalam bilik sendiri. Dan ana juga faham, sekiranya  sesuatu jerat (kesakitan) itu tidak membawa kematian, ia mungkin menjadi pentazkirah, penghapus dosa atau Allah sengaja ingin mengangkat darjat hamba di sisiNya.

Tok guru pesan lagi “Allah tidak buat perkara itu sia-sia” dan ana baca dalam al-Quran, pepatah ini juga ada.

Ana tidak pernah kena demam seperti itu. Hari pertama disertakan hanya dengan selsema. Bila ditelah ‘panadol’ demamnya segera kebah. Peluh memercik hampir seluruh tubuh. Cuma rasa lemah dan sengal-sengal badan serta selsema itu yang masih kekal utuh. Ana fikir ana telah sembuh kerana biasa-biasa paling lama demam tiga hari. Setelah lapan jam berlalu, panas datang kembali. Kadang-kadang melepasi tahap 39 darjah celcius.

Masuk hari ketiga,setelah ada batuk dan tanda-tanda sengal badan, ana mengalah dan pergi berjumpa Doktor. Mana tau musim-musim sekarang ini. Ana turut diselubungi rasa bimbang. Tetapi ana yakin dan percaya bahawa apa-apa sekalipun, itu semua sudah ketentuan Tuhan. Selagi ada hayat dikandung badan, usaha perlu diteruskan.

Doktor kata demam biasa je nih. Dia bagi empat jenis ubat. Panadol, Multivitamin, Ubat selsema dan Ubat cair kahak.

Menjelang petang dan apabila semakin hampir waktu berbuka, panas badan semakin menjadi berang. Sehingga tiba waktu berbuka dan badan pun sudah lemah serta selera pula telah hilang sepenuhnya. Namun ana gagahi juga makan dua tiga mulut sebagai alas untuk menelan ubat-ubat yang dibekalkan oleh Doktor terutamanya panadol. Selang dua jam selepas itu, badan mula berpeluh dan rasa seolah-olah demam telah kebah. Selepas 8 jam berikutnya, panas badan menyerang lagi. Keadaan masih sama.

“Tak pernah lagi macam ni. Biasa kalau telan panadol, berpeluh dan terus kebah” ana bermonolog sendiri.

Ana cari kembali buku-buku sumber yang digunakan semasa mempelajari ilmu perubatan Islam suatu masa dulu di Bangi. Segala ramuan dan resepi ana turuti. Seingat ana, inilah kali pertama ana praktikkan ilmu yang dipelajari lebih 9 tahun yang lalu untuk mengubati diri sendiri. Selain itu, ada lah beberapa kali ana guna untuk membuat ramuan ubat selusuh isteri nak bersalin dan ramuan penawar untuk kegunaan anak-anak. Ada juga sekali ketiga ayah ditimpa strok dulu.

“Biasanya jika ana buat untuk orang lain menjadi. Cuma untuk diri sendiri ini, mungkin Allah masih ingin menguji” ana bermonolog lagi.

Hari kelima dan jam pun sudah melewati pukul empat petang hampir ke pukul lima. Klinik pun dah nak tutup tetapi ana gagahi juga untuk melawatinya sekali lagi. Kali ini Doktor buat saringan ujian darah. Tetapi resultnya bebas H1N1, bebas DENGGI dan menurut Doktor semua kandungan darah ‘ok’. Akhirnya Doktor bekalkan antibiotik untuk dihabiskan dalam 5 hari berikutnya.

“Kalau lusa tak kebah, datang balik ke sini dan kalau sesak nafas perlu datang segera, jangan tunggu lusa!” pesan Doktor. Serius bunyinya.

Keesokan harinya (hari keenam) keadaan masih sama. Bila telan panadol, demam kebah selama 8 jam. Selepas itu panas badan, rasa lemah dan sengal-sengal tiba kembali.

Menjelang petang hari ketujuh, ana rasa seolah-olah telah habis berusaha, tetapi demam ini tidak mengendahkannya. Ia memang pergi tetapi tidak serik untuk kembali lagi. Begitulah feelnya “Allah masih ingin menguji”. Jam pada masa itu sudah hampir waktu berbuka dan semua orang sedang sibuk di dapur. “Esok kalau macam ni, Doktor suruh pergi mengadap lagi” fikir ana.

Kebetulan mak datang menjenguk ana di perbaringan. Dalam lemah, ana bersuara “Mak.. tolong mandikan saya?”

Mak segera mengiyakannya. Disuruhnya ana bersedia dan dia pula bergegas menyediakan ramuan. Sekendi air panas dan beberapa kuntum bunga raya yang dicampur ke dalam sebasin air biasa. Itu ramuan yang ana nampak dan kenali. Selebihnya itu, ana tak pasti.

Jirusan pertama air mandian mak selepas berpuluh tahun ana tidak merasainya menimpa kaki (cuma ana selalu ingat pesan mak, kalau mandi basuh kaki dulu). Kemudian ia membasahi hingga ke kepala dan bak anak kecil ana merasai belaian dan usapan tangan mak yang lembut dan sangat ikhlas itu menjengah atas kepala ana. Tidak pasti bila kali terakhir mak memandikan ana. Dan kini pada umur yang melewati 30an, ana masih mampu menikmati rasa kasih sayang itu sekali lagi.

Setelah itu ana rasa seolah-olah mendapat nafas baharu. Kesegaran yang tidak pernah dirasai dalam seminggu dua ini bahkan mungkin sejak ana dewasa barangkali. Kesegaran yang lain daripada segar selepas menelan panadol atau sebarang pengubatan yang lain.

Beberapa ketika masuklah waktu berbuka. Ana menikmati juadah dengan agak berselera. Walaubagaimanapun ana tidak lupa mengambil dos untuk ubat antibiotik yang dibekalkan oleh Doktor. Kerana ana ingat lagi pesanannya “Makan ubat ini (antibiotik) hingga habis”. Cuma, oleh kerana rasa kesegaran dan tenaga yang luar biasa, ana tinggalkan panadol yang tertera maklumat tambahan pada bekas luarnya “Ambil sekiranya perlu sahaja”.

Kesimpulan
Apa yang nak ana kongsikan di sini ialah bukanlah perjalanan atau kisah demam ana yang mungkin sangat biasa ini. Kerana semua orang demam. Ada yang demamnya sehari, tujuh hari malah berbulan-bulan pun. Ana sedar itu. Cuma ana nak kongsikan pengalaman ana yang dimandikan oleh mak itu. Ianya jarang dibuat orang. Ana pun teringat petua ini daripada seorang guru yang pernah berpesan “sekiranya anak sakit dan lambat sembuh, atau liat untuk sembuh, elok dibawa mandi dibelakang kita (letak anak kat belakang dan mandi bersama-sama)” Mungkin ada hikmahnya.

Selain itu, tidak dinafikan bahawa penyakit itu datangnya daripada Allah. Ia merupakan ujian. Setiap penyakit itu pula ada ubatnya melainkan mati. Segala ubat-ubatan pula bukanlah penyembuh yang mutlak kerana hanya Allah SWT yang berkuasa menyembuhkan..

Wallahu aklam.

p/s: Semenjak cuti belajar, terutama di tahun terakhir ini (menulis tesis) ana menetap di rumah mak. Fikir ana inilah masanya setelah ana berjauhan dari keluarga sejak ke Jordan, kemudian ke Sarawak. Ana ingin berbakti kepada mereka berdua sementara masih ada. Itulah niatnya dan Allah kabulkan.

p/s 2: Bagi anda yang masih mempunyai mak. Hargailah ibu anda. Tunaikanlah kewajipan kepadanya dan jangan kekok, malu atau segan untuk meminta bantuan daripadanya. Tidak pernah ada insan di dunia ini yang terlebih ikhlas memberi bantuan kepada kita melainkan ibu kita sendiri. Dan doa ibu itulah yang utama. Redhanya pula membawa ke Syuga, kerana ia berkemampuan mengundang rahmat dan kasih sayang Allah kepada hamba-hambaNya.

Info kesihatan

Tulisan ini ana sunting daripada satu kertas kerja yang dibentangkan oleh Faridah Abdul Rashid, Jabatan Patologi Kimia, Pusat Pengajian Sains Perubatan, USM Kubang Kerian Kelantan. Anda boleh mengikuti bicara akademik beliau di blognya (http://theearlymalaydoctors.blogspot.com/). Selamat mencari yang baik dan bermanfaat.

Bismillahirrahmanirrahim

Lipid
Lipid berupa minyak dan lemak. Untuk menentukan sama ada sesuatu bahan makanan itu lipid atau sebaliknya, anda boleh lesekkan sedikit makan berkenaan pada kertas dan lihat kesannya. Jika makanan berkenaan meninggalkan kesan berupa minyak pada kertas, maka ia adalah ‘lipid’. Karbohidrat dan protein tidak meninggalkan kesan minyak pada kertas.

Umumnya terdapat sembilan (9) jenis ‘lipid’ dalam alam semesta ini – ada di antaranya boleh dimakan dan ada juga yang boleh memudaratkan jika dimakan terlalu banyak. Umumnya, hampir semua makanan yang boleh dimakan manusia mengandungi sedikit lipid sama ada secara semula jadi atau ditambah.

Segala makanan (kecuali air) yang kita makan mempengaruh jumlah lipid dalam darah kita. Agak sukar bagi umum mengetahui kandungan setiap makanan yang mereka makan atau ingin makan. Namun satu cara berkesan untuk mengatasi masalah ini ialah membaca label yang tertera pada setiap barangan makanan ketika membeli.

Lemak Makanan
‘Lemak’ ialah istilah umum untuk semua bentuk minyak yang kelihatan pejal di suhu bilik. Istilah saintifik bagi lemak ialah trigliserida (istilah dalam bidang perubatan) atau triasilgliserol (istilah saintifik kimia). ‘Lelemak’ pula ialah lemak yang dihasilkan setelah lemak asal diproses.

Makanan yang mendorong kepada tubuh sihat kurang mengandungi lemak. Sebaliknya, makanan yang mampu dan sering memudaratkan kesihatan kita mengandungi banyak lemak. Antara makanan kurang lemak ialah daging lembu atau kambing yang dibuang ketulan lemaknya, daging arnab, daging burung unta, ikan air tawar dan ikan laut. Antara makanan yang banyak lemak ialah daging lembu atau kambing berlemak.

Kolesterol Makanan
Tubuh kita memerlukan sejumlah kolesterol kerana kolesterol ialah bahan asas untuk tubuh kita membina hormon steroid. Kita perlu makan makanan mengandungi kolesterol. Kita perlu sedikit sebanyak mengambil tahu tentang kolesterol dan perlu mampu mengawal pengambilan kolesterol dalam makanan seharian. Jumlah kolesterol yang dimakan perlu dikawal sebaik mungkin jika kita mahu mengelakkan pelbagai penyakit masa kini.

Kolesterol hanya terdapat dalam makanan yang diperoleh daripada sumber haiwan. Kolesterol tidak terdapat sama sekali dalam makanan daripada sumber tumbuhan. Sebaliknya, tumbuhan mengandungi sitosterol sebagai ganti kolesterol. Sitosterol berbeza dengan kolesterol. Sitosterol bersifat berlawanan dengan kolesterol.

Makanan boleh mengandungi rendah kolesterol atau banyak kolesterol. Antara makanan yang mengandungi banyak kolesterol ialah makanan daripada sumber haiwan termasuk: daging merah berlemak seperti daging lembu dan kambing, daging organ, keju keras, susu penuh krim, yogurt, krim, telur, makanan laut seperti kerang-kerangan, ketam, udang, udang galah, dan sotong, coklat, mentega, lemak babi, minyak kelapa dan marjerin keras.

Manakala makanan yang mengandungi sederhana kolesterol termasuklah: daging merah tanpa lemak seperti daging lembu dan kambing, keju lembut, ais krim, kek, pastry, petis, dan mee telur. Antara makanan yang mengandungi rendah kolesterol termasuklah daging putih tanpa lemak seperti daging arnab, daging rusa, daging ayam, keju kotej, susu soya, susu cair, yogurt kurang lemak, ikan, kekacang, buah-buahan segar, sayur-sayuran, nasi dan bijirin lain, roti, minyak sayuran, minyak zaitun, minyak jagung, dan marjerin lembut. 

Kita boleh ambil langkah mencegah kolesterol dari naik mendadak dalam darah. Jika pada masa ini kita minat makanan tinggi kolesterol, kita hanya perlu ubah dan memilih makanan rendah kolesterol sebagai langkah bijak bagi menyelamatkan keadaan saluran darah dan jantung kita tersumbat dengan ledakan kolesterol. Inilah langkah terbaik jika kita inginkan saluran darah yang bersih dan menjamin kesihatan buat masa terdekat mahupun masa depan. Andainya kita mengabaikan langkah permulaan ini, maka kita sendiri menempah dan menjemput penyakit datang menimpa diri kita, tidak sekarang, lambat-laun penyakit akan tetap melawat kita.

Kolesterol Darah
Kolesterol ialah lipid daripada kumpulan sterol. Kolesterol darah disumbangkan oleh dua punca iaitu hepar (hati) dan menerusi pemakanan (makanan yang dimakan atau diet). Sebahagian besar kolesterol darah (70%) disumbangkan oleh hepar manakala pemakanan menyumbang sebahagian kecil sahaja (30%). Jumlah sebenar kolesterol yang dibekalkan oleh hepar ke dalam darah ditentukan oleh baka kita. Jumlah kolesterol darah juga ditentukan oleh baka kita.

Oleh demikian, terdapat banyak gen yang mempengaruh jumlah kolesterol yang akhirnya berada dalam darah. Walau pun demikian, ini tidak bermakna kita tidak ada jalan keluar untuk mengawal aras kolesterol darah kita. Sebaliknya, kita ada banyak pilihan jika kita mengetahui!

Umum perlu mengetahui bahawa kolesterol boleh hadir dalam dua bentuk dalam tubuh kita, iaitu bentuk ‘kolesterol bebas’ dan ‘kolesterol ester’. Bentuk kolesterol yang aktif dalam tubuh kita ialah kolesterol bebas. Manakala kolesterol ester ialah bentuk simpanan kolesterol dalam tubuh kita. Kolesterol bebas yang banyak dalam darah memudaratkan kerana mampu dimendakkan dalam saluran darah dan juga dalam jantung.

Sakit Dada/Jantung
Arteri koronar membekalkan darah kepada jantung. Jika arteri koronar tersumbat, kita boleh dapat ‘sakit dada’ atau pun ‘sakit jantung’.

Sakit dada berlaku secara tiba-tiba. Sakit dada boleh jadi sementara dan kadang-kala hilang begitu sahaja tanpa apa-apa kesan sampingan dalam masa terdekat. Namun sakit dada boleh berulang dalam masa terdekat atau lama kemudian. Sakit dada ialah petanda awal bahawa sakit jantung mungkin akan berlaku berikutnya.

Sakit jantung juga berlaku secara tiba-tiba. Sakit jantung boleh berlaku pada lelaki dan juga perempuan dewasa. Sakit jantung kali pertama sering membawa maut bagi kaum lelaki dewasa. Ramai perempuan mampu terus hidup selepas sakit jantung pertama. Namun, ramai perempuan tidak mampu hidup selepas sakit jantung kali kedua. Sakit jantung kali kedua sering membawa maut bagi kaum perempuan dewasa.

Strok
Terdapat dua jenis strok. Satu jenis strok disebabkan oleh saluran darah ke otak tersumbat oleh ledakan kolesterol dan dikenali sebagai ‘strok sumbatan’ (strok iskemia). Satu lagi jenis strok disebabkan oleh saluran darah dalam otak terpecah dan dikenali sebagai ‘strok berdarah’ (strok hemoraj). Umum perlu mengetahui bahawa, walau apa pun jenis strok yang berlaku, semua pesakit strok perlu segera dibawa ke hospital (bahagian kecemasan). Strok boleh dirawat dengan ubat-ubat khas dengan syarat pesakit dibawa ke hospital dalam masa 6 jam berlakunya strok. Selepas tempoh 6 jam, kebanyakan kerosakan tetap telah pun berlaku pada otak dan sukar untuk mana-mana pakar bedah neuro menyelamatkan keadaan sengsara pesakit. Oleh demikian, orang yang sedar akan mana-mana pesakit yang baru terkena strok perlu tangkas bertindak kerana secara tak langsung ia boleh mempengaruh nasib pesakit strok berkenaan.

Strok berdarah (haemorrhaghic stroke) boleh dirawat dengan membekalkan darah dari penderma darah yang mempunyai genotip apolipoprotein E jenis E3 atau E4.

Pengesanan Peringkat Awal Gangguan Glukosa
Peringkat awal gangguan glukosa (sebelum mendapat diabetes) boleh dikesan dengan menjalankan dua ujian mudah iaitu glukosa darah semasa berpuasa (FBG) dan ujian tolerans glukosa (OGTT). Kedua-dua ujian glukosa ini memerlukan kita berpuasa sepenuhnya (dikenali sebagai ‘puasa pembedahan’ – tanpa minum dan makan) selama sekurang-kurangnya 12 jam sebelum kita boleh menjalani kedua-dua ujian ini dengan sempurna.

Setelah berpuasa 12 jam, kita menjalani ujian FBG. Aras glukosa darah berpuasa perlu berada dalam lingkungan julat tertentu. Nilai glukosa darah FBG yang berada diluar julat ini tergolong sebagai ‘glukosa berpuasa terganggu’. Setelah ditentukan status FBG, kita boleh menjalani ujian OGTT.

Dalam ujian OGGT, setelah menjalani FBG, kita diberikan minuman larutan glukosa mengandungi 75 gram glukosa dalam segelas air (hampir 200-250 ml). Kemudian, darah akan diambil 2 jam selepas minum larutan glukosa ini. Aras glukosa darah 2 jam selepas minum larutan glukosa (2HPP) perlu berada dalam lingkungan julat tertentu. Nilai glukosa darah 2HPP yang berada diluar julat ini tergolong sebagai ‘tolerans glukosa terganggu’.

Kencing Manis (Diabetes Jenis 2)
Istilah saintifik bagi kencing manis ialah diabetes mellitus, atau diabetes sahaja. Diabetes tidak terjadi secara tiba-tiba. Diabetes tergolong sebagai ‘penyakit kronik’ iaitu memakan masa yang agak lama sebelum ia menjadi nyata. Sebenarnya, kita menghadapi perubahan di peringkat awal sebelum kita mencapai peringkat diabetes (peringkat akhir). Peringkat awal ini boleh dikesan dengan menjalankan ujian glukosa darah. Kehadiran glukosa yang dikesan dalam air kencing tidak semestinya bermakna kita menghidap kencing manis.

Antara punca utama kita boleh dapat penyakit kencing manis ialah gemuk akibat berlebihan memakan makanan jenis karbohidrat dan makanan terlalu manis, bagi tempoh yang lama. Ini bermakna kita sendiri telah memilih untuk mendapat diabetes, mungkin sebab sikap acuh tak acuh (tak kisah) kita sendiri.

Doktor hanya mampu merawat diabetes. Dunia perubatan masa kini tetap tidak ada ubat khas untuk menyembuhkan diabetes. Apakah nasib kita? Apakan daya? Nasi telah menjadi bubur! Kita sebenarnya tidak ada pilihan setelah didiagnos menghidapi diabetes kerana diabetes ialah peringkat akhir, penghujung jalan (kekalahan), setelah tubuh kita puas menggembling kekuatan bertahun-tahun untuk cuba mengatasi gangguan glukosa yang berlaku dalam tubuh kita (hanya kita tidak sedar akan hal ini). Memang benar, pencegahan adalah lebih baik daripada rawatan. Sesal awal bermakna, sesal kemudian tidak bererti. Jangan kita sekali-kali abaikan risiko diabetes!

Kita tidak perlu tunggu hingga sakit baru datang ke klinik atau hospital. Kita boleh mengambil tindakan lebih proaktif dan pilih untuk melibatkan diri dalam kajian penyelidikan atau pun datang terus ke klinik atau hospital dan mendapatkan pemeriksaan darah pada bila-bila masa yang difikirkan sesuai. Kita boleh minta doktor menjalankan pemeriksaan perubatan ke atas diri dan darah kita jika kita inginkan doktor mengesan sebarang perubahan kesihatan di peringkat awal. Kita juga boleh memaklumkan kepada doktor bahawa kita ingin mengetahui sama ada kita menghidapi hiperlipidemia, glisemia, hipertensi atau pun tidak. Kita juga boleh minta nasihat untuk pencegahan ketiga-tiga keadaan bahaya ini.

Wallahu aklam.. semoga bermanfaat.

p/s: sakit adalah ujian (tentera Allah). Kalau sakit telah datang, berusahalah mencari ubatnya. Banyak beristighfar, syukur, sabar dan serah diri pada Allah. Kata hukama’ penyakit hati, itulah yang lebih utama untuk dirawati.

Selusuh

Bismillahirrahmanirrahim..
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Selusuh ialah nama bagi bahan khusus yang disediakan untuk memudahkan kelahiran bayi juga meringankan penderitaan ibu. Selusuh terdiri daripada air dan minyak yang disebut sebagai air selusuh dan juga minyak selusuh. Adakalanya kedua bahan ini digunakan secara bersama dengan ditambah dengan buah kurma (seelok-eloknya kurma Nabi iaitu ajwah)

Air selusuh dibuat (jika dapat) menggunakan air zam-zam. Minyak selusuh pula dibuat sendiri menggunakan kelapa tua yang belum kering kulitnya (kelapa hijau). Kelapa diparut dan diperah santannya tanpa ditambah air. Toskan santan tersebut didalam bekas selama lebih kurang 3 hingga 4 jam. Kemudian saring kepala (bahagian atas) santan menggunakan sudu bagi mengasingkan pati-patinya yang telah terkumpul di dasar bekas tadi.

Masak santan berkenaan menggunakan kuali dengan api perlahan. Sentiasa kacau santan bagi mengelakkannya menjadi berketul. Masak sehingga pecah minyak dan kacau hingga bentuk tahi minyak bertukar menjadi kuning keemasan (lebih kepada kehitaman sebenarnya tapi bukan hangus). Setelah itu sejukkan minyak dan asingkan daripada tahinya. Tuang minyak ke dalam gelas kaca (kalau dapat gelas tidak berwarna dan putih jernih). Simpan minyak dalam suhu bilik selama lebih kurang seminggu atau lebih agar pati-pati tahi minyak akan mendap ke bawah gelas. Setelah itu anda akan dapati minyak yang warnanya keemas-emasan dan jernih. Pindahkan minyak (saringkan) yang jernih bersih itu ke dalam bekas kaca yang lain dan kini mulakan dengan amalan-amalan di bawah:

1. Minyak dan air zam-zam di bawa bersama ketika solat hajat. (letak di hadapan sebelah kanan);
2. Setelah selesai solat hajat, bacakan doa-doa ini (mengikut kadar dan bilangan yang digemari) ke atas air dan minyak tadi:
– Surah Al-fatihah
– Surah al-Hasyr ayat 21-24
– Selawat Syifa
– Doa 1

Klik untuk download panduan lengkap

– Doa 2

klik untuk download panduan lngkap
3. Simpan (air dan minyak) di tempat yang selamat
4. Sementara menunggu saat sakit nak bersalin, suami dan isteri hendaklah sentiasa solat hajat mohon dipermudahkan proses kelahiran anak yang ditunggu-tunggu. Banyakkan membaca al-Quran terutama surah Maryam, Yusuf dan Luqman. Setelah masuk minggu yang terakhir (sebelum due), berikan isteri minum air selusuh (sahaja, tidak termasuk minyak) sekali sehari selepas solat fardhu subuh.
5. Apabila isteri merasakan sakit nak bersalin, minum air selusuh, makan 1-3 biji buah kurma dan telan sesudu minyak selusuh. Sabarlah menunggu saat kelahiran dengan perasaan yakin dan tawakkal kepada Allah..

Amalan penyediaan air dan minyak selusuh ini adalah diwarisi turun temurun daripada petua dan amalan orang-orang tua di Malaysia secara khususnya di Kelantan atau secara umumnya di rantau Asia Tenggara. Cuma pendekatan penyediaannya kini dimurnikan dengan membaca ayat-ayat suci al-Quran dengan hati yang ikhlas ingin mendapat pertolongan daripada Allah SWT jua.

Tidak ada sebarang halangan untuk menggunakan al-Quran dan bermunajat serta berdoa kepada Allah apatah lagi meminta pertolongan daripadaNya bahkan ia adalah suatu ajaran Agama melalui gesaan al-Quran sendiri (surah al-Fatihah:5)

Sekian, selamat mencuba! Wallahu aklam..

Untuk download entry ini (lengkap dengan petikan al-Quran dan doa-doa) dalam bentuk *.pdf sila klik di sini

Anda juga mungkin berminat Doa Ibu Mengandung

Keajaiban Air

Bismillahirrahmanirrahim..

Air adalah makhluk kejadian Allah SWT. Air adalah sumber kehidupan. Firman Allah “Dan kami jadikan daripada air segala sesuatu itu hidup” (al-Anbia:30). Air daripada segi saintifiknya mengandungi dua komponen Gas Hidrogen dan satu komponen Gas Oksigen (H2O). Air juga memenuhi 2/3 daripada bumi.

Sifat air
Air sentiasa hidup. Kehidupan air itu pula mudah diperhatikan. Lihat saja kepada air laut yang sentiasa bergelora. Ia lambang bahawa air laut itu hidup. Lihat pula kepada titisan air yang jatuh dari langit singgah di dedaunan kemudian menggelonsor jatuh ke bumi. Di sana air terkumpul lalu mengalir pula ke sungai seterusnya ke laut seterusnya naik semula ke langit membentuk awan kemudian turun hujan lagi.

Air semestinya hidup. Perhatikan pula air di dalam bekas. Pantang digoyangkan walaupun sedikit maka air akan berkocak. Air jika disimpan di dalam bekas berpuluh-puluh tahun pun tidak akan mati. Macam itu juga. Bila diusik pasti akan berkocak. Tetapi suatu hari nanti air pun akan mati juga. Bila dan bagaimana hanya Allah yang Maha Mengetahui. Cuma hari ini orang mengatakan air yang telah direbus itu air mati.

Sifat air yang kedua (sebagimana yang telah diberitahu kepada ana oleh seorang bijak pandai dan banyak pula pengalaman hidup) adalah merakam. Air mampu merakam perkataan manusia dan menyimpannya kemudian boleh dikeluarkan semula (hasil rakaman itu) apabila manusia teresbut memerlukan. (Ayat ini mengandungi sedikit falsafah tetapi jika diperhatikan ia boleh difahami). Air seperti kaset yang dapat merakamkan suara ke dalam pita kaset. Kemudian boleh dipasang untuk dimainkan beberapa kali.

Seorang sahabat Nabi telah diminta untuk mengubati seorang yang sedang sakit. Lalu diminta air dan dibacakan ke atasnya surah al-Fatihah. Apabila diberi minum air tadi maka dengan izin Allah dia sembuh dan sahabat tadi mengambil upah (makanan) di atas usahanya itu. Perkara ini disampaikan kepada Rasulullah SAW maka Nabi mengiayakan perbuatan sahabat berkenaan.

Air dapat merakam bacaan al-Fatihah sahabat tadi lalu menyimpannya. Setelah ia memasuki tubuh pesakit dan dikehendaki agar ia menyembuhkan, maka dengan izin Allah, al-Fatihah yang disimpan di dalamnya tadi berupaya menjadi ubat yang paling mujarab. Semua jenis air boleh merakam dan menjadi ubat tetapi yang lebih utama adalah air mutlak yang tidak bercampur dengan anasir-anasir lain terutama bakteria. Yang tentu sekali ia akan memberi mudharat pula.

Cuma perbezaan di antara set perakam (kaset) dengan air adalah yang satu itu (perakam kaset) zahir dan air bersifat batin. Yang zahir akan terlaksana tanpa melihat kepada siapa pelakunya. Samada orang dewasa atau kanak-kanak, lelaki atau perempuan dan sebagainya. Sekiranya butang “recording” itu ditekan, maka proses rakaman akan berjalan lancar.

Sebaliknya yang batin lebih perlu kepada niat dan keikhlasan pelakunya. Di samping tata tertib dan cara perlaksaan yang betul. Dalam erti kata yang lain, semakin dekat seseorang pelaku itu dengan Allah SWT (pencipta air) maka semakin berkesanlah tindakannya ke atas air itu. Sebab itu tidak hairanlah kita perhatikan dalam masyarakat (dahulu terutamanya) sering mengunjungi orang-orang alim untuk meminta air tawar sebagai ubat. Terutama bagi mengubati penyakit-penyakit batin seperti sifat marah, dendam, malas, di rasuk syaitan dan sebagainya.

Anak dan ibu
Tujuh puluh peratus (70%) diri manusia terdiri daripada air. Maksudnya komponen utama jasmani manusia itu adalah air. Kebergantungan hidup manusia kepada air lebih daripada selainnya. Kita biasa dengar orang mengatakan manusia boleh hidup tanpa makan berhari-hari tetapi tidak boleh hidup tanpa air hanya untuk dua atau tiga hari sahaja.

Oleh kerana sifat air adalah merakam, maka seeloknya seorang ibu (terutamanya) tidak mengatakan sesuatu yang tidak baik kepada anaknya. Kita selalu mendengar perkataan ibu itu samada baik atau tidak adalah doa. Kerana ibu adalah orang yang paling dekat dengan anak. Kerana anak itu dikandung dalam rahimnya selama sembilan bulan sepuluh hari. Masakan perkataan ibu tidak mudah diterima?

Oleh itu, kita selalu perhatikan, seorang ibu yang selalu bercakap baik dengan anak, mendoakan kejayaan anak, berkata dengan perkataan yang baik sahaja kepada anak, memuji tindakan baik anak dan memotivasikan anak yang berkelakuan tidak baik, selalu mengucapkan harapan baik terhadap anak dan sebagainya pasti akan menjadikan anak tersebut orang yang baik sebagaimana perkataan ibunya. Sebaliknya pula sekiranya semua perkataan ibu adalah sumpah-seranah, maki hamun, melahirkan rasa tidak puas hati dan sebagainya itu akan menatijahkan anak yang derhaka pula. Wal iya zu billah..

Hal ini kerana sifat air (yang paling banyak dalam diri anak) itu akan merakam setiap perkataan yang didengarinya. Terutama daripada orang yang paling dekat dengannya. Kemudian, air tadi akan mengulang-ulang perkataan tadi di telinga (hati) anak yang kemudiannya membentuk ia sebagaimana yang diingini oleh hatinya. Samada baik ataupun sebaliknya. Klik di sini untuk membaca pengalaman yang ditulis berkenaan penerimaan air serta perubahannya mengikut apa yang didengarinya.

Kesimpulan
Jika hari ini kita menziarahi orang yang sedang sakit, ambillah segelas air dan bacakanlah apa sahaja yang termampu dengan perasaan penuh keikhlasan dan pengharapan agar penyakitnya itu disembuhkan oleh Allah. Mudah-mudahan penyakitnya akan beransur pulih. Klik di sini bagi membaca rakan yang menulis tentang molekul air yang diucapkan dengan ucapan yang baik.

Jika hari ini kita adalah seorang ibu, ayah ataupun cuma seorang rakan kepada orang lain. Ucapkanlah perkataan yang baik-baik sahaja kepada mereka yang mendengar ucapan kita. Kerana selain ia membentuk kebaikan kepadanya, kita juga akan menerima kebaikan daripada ucapan baik kita itu nanti. Firman Allah “Tidakkah sesuatu yang baik itu akan dibalas dengan yang baik juga?” (surah al-Rahman)

Semoga bermanfaat, wallahu aklam.

Bunga Raya

Bunga Raya atau nama saintifiknya Hibiscus ros-sinensis telah dinobatkan sebagai Bunga Kebangsaan pada 28 Julai 1960 oleh Perdana Menteri Malaysia ketika itu, YTM Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Ia dipilih sebagai Bunga Kebangsaan kerana; Warna merah bermaksud keteguhan politik dan ekonomi serta sifat berani menempuh cabaran. Debunga-debunganya pula berwarna kuning melambangkan kedaulatan Raja. Manakala kepelbagaian bunga raya dari segi bentuk, warna dan ukuran melambangkan rakyat pelbagai kaum, agama dan budaya yang hidup dalam harmoni. 

Bunga raya biasa ditanam di halaman rumah kita. Cara menanamnya tidak juga terlalu sukar. Memadai sekiranya anda potong mana-mana dahannya, kemudian anda semai di tempat yang ada air atau berair. Atau terus anda cucuk dalam pasu dan biarkan di tengah hujan, insyaAllah ia boleh hidup. Dalam dua atau tiga hari anda akan lihat dedaun asalnya (setelah dipotong) akan mula kekuningan dan jatuh, kemudian jika ada rezeki pucuk baru akan mula menampak setelah seminggu hingga dua minggu anda semai.

Demam
Ujian yang Allah tetapkan pada diri ana dan anak-anak ialah cepat sangat kena demam. Tapi alhamdulillah bukan kategori demam panas yang melampau sehingga membawa kepada meracau-racau. Tetapi boleh dikatakan setiap kali berlaku perubahan cuaca, ada dalam kalangan kami yang kena demam. Kecuali isteri yang antibodinya agak kuat. Hari ini kebetulan anak kedua ana demam lagi.

Petua ibu ana, bila demam maka diambilnya dua hingga tiga kuntum bunga raya dan diramas-ramas ke dalam semangkuk air kemudian disapu-sapu pada badan bagi mengurangkan panasnya. Mula-mula ana merasa tidak yakin dengan perubatan (amalan) mak ana ini. Ya lah bunga raya. Sudah lama sebenarnya ana hidup dan kenal dengan bunga raya. Tetapi sudah dinamakan ibu, bila ia nak lakukan sesuatu pada kita (anaknya) takan nak larang pula. Tambah-tambah keikhlasan seorang ibu memang tidak dinafikan.

Kali pertama ana kena usapan air bunga raya adalah ketika demam minggu lepas. Hari ahad itu ana hampir tidak dapat bangun sehingga adik yang nak ke Kuala Lumpur pun minta sepupu tolong hantarkannya ke stesen bas Jalan Hamzah. Sebelum ini ana hanya perhatikan sahaja mak ana atau isteri (juga sudah mula mengamalkan perubatan air bunga raya itu) yang menyapu air bunga raya ke badan anak-anak. Kata mereka dapat mengurangkan suhu badan yang panas.

Apabila terkena air bunga raya yang mak ana sapu ke tubuh ana, dengan tidak semena-mena tubuh yang terasa panas membahang itu semakin terasa kurang bahangnya. Ya lah dah kena air fikir ana. Tetapi setelah itu ana rasa tubuh semakin sejuk dan dapat bertahan sehingga ke tengahari (sejuknya). Fikir ana: mujarab juga, biasa kalau kena air biasa, tubuh akan sejuk dalam beberapa ketika sahaja. Maka mulai saat itu ana sudah semakin minat memandang dan memerhatikan kepada bunga raya yang mak tanam di sekeliling rumahnya ini. Dalam hati berkata: Kalau sudah petua ibu, insyaAllah akan menatijahkan yang baik-baik sahaja.

Alternatif
Ana syorkan kepada anda semua supaya menanam bunga raya ini di halaman rumah. Memang tiada teori sains yang mengatakan air ramasan bunga raya dapat mengurangkan panas badan ketika demam. Biasanya panadol atau paracetamol sahaja yang digunakan. Kita pun tidak tahu, sudah berapa banyak bahan kimia itu telah menempat dalam tubuh kita dan anak-anak. Dengan itu, elok juga dicuba air ramasan bunga raya ini sebagai perubatan alternatif apabila anak-anak atau anda sendiri kena demam.

Sesungguhnya bagi setiap penyakit itu ada ubatnya. Cuma kita perlu berusaha ke arah itu. Setelah itu bertawakkallah kepada Allah dengan apa sahaja ubat yang digunakan agar ia benar-benar mujarab. Kerana yang menyembuhkan adalah Allah. Ubat itu hanyalah usaha kita semata-mata. Seperti lapar kita perlu berusaha untuk makan tetapi yang memberi kita kenyang adalah Allah.

Untuk lebih info berkenaan bunga raya sila klik di sini

Wallahu aklam.

Lelaki: Gelang untuk tujuan perubatan

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Sebenarnya perkara ini telah lama dibincangkan oleh banyak pihak. Bermula daripada golongan ahli akademik, ulama sehinggalah budak-budak sekolah. Persoalan ini pula selalu bermain di fikiran ana. Maka hari ini ana akan mencuba untuk menulis tentang tajuk ataupun isu tersebut. Pada ana, ia bukanlah suatu fatwa, atau hukuman atau apa sahaja yang sama erti dengannya. Cuma sekadar suatu pandangan hasil pengamatan daripada ilmu yang sedikit berbanding dengan para ilmuan yang lain.

Pada ana, gelang adalah suatu pakaian yang direka khas untuk kaum wanita. Oleh yang demikian, lelaki yang memakai gelang dianggap sebagai mengenakan pakaian (khusus) yang menyerupai kaum wanita dan ini adalah dilarang dalam syariat Islam. Begitu juga sebaliknya jika wanita memakai pakaian khusus untuk kaum lelaki. Sekiranya untuk tujuan perubatan (dharurat) maka ia menjadi titik perselisihan ulama. Cuma kita sedia maklum bahawa orang-orang yang warak akan keluar daripada segala isu yang melibatkan (khilaf) perselisihan tersebut.

Ana tidak menyokong langsung lelaki memakai gelang walaupun untuk tujuan perubatan. Rasionalnya adalah seperti berikut:

1. Ubat dan maslahah ada kadar
Apa sahaja yang dikatakan ubat, yang diamalkan oleh pengamal perubatan, ia mesti digunakan mengikut kadarnya yang tertentu. Allah juga telah menegaskan tentang sesuatu itu ada kadarnya melalui firmannya dalam ayat yang dikenali sebagai ayat seribu dinar. Contohnya ubat panadol diambil mengikut kadar tertentu. Orang dewasa perlu dua biji diambil tiga kali sehari. Mana boleh diambil 20 hingga 30 biji sekali? Ataupun diambil setiap setengah jam dan secara berterusan? Sekiranya penyakit telah sembuh tidak perlu ambil lagi. Ana ambil panadol cuma satu biji sahaja. Setakat ini sakit kepala hilang tanpa perlu mengambil biji yang kedua.

Ana juga ada pengalaman berkenaan dengan madu lebah. Ana terpengaruh dengan suatu produk MLM yang menggesa minum madu sebanyak 2 hingga 3 sudu setiap pagi dan petang. Akhirnya ana kena ulser perut. Apabila ana merujuk pakar kesihatan Islam yang sebenar, beliau mengatakan madu memang ubat yang disebut dalam al-Quran. Tetapi ia masih ada cara yang tepat untuk mengambilnya kerana setiap perkara itu Allah sudah tetapkan kadarnya. Ubat macamanapun sekiranya diambil secara tidak tepat kadarnya, ia akan menjadi mudharat atau racun. Yang sebenarnya, madu dalam perubatan Islam perlu diambil 2 hingga 3 titik sahaja.

Jadi, jika gelang untuk tujuan perubatan itu dipakai sehari-hari, sepanjang minggu, bulan dan tahun, apakah ia sebenarnya ubat?

Begitu juga sekiranya anda berpendapat memakai gelang kerana ingin mencegah penyakit sebenarnya. Bukankah mencegah itu lebih baik daripada mengubati? Maknanya, memakai gelang merupakan maslahah kepada manusia iaitu bagi melancarkan perjalanan darah seterusnya mengelak daripada terkena penyakit.

Pun begitu, kaedah fiqhiyah ada menyebut bahawa “maslahah tuqaddar biqadariha”. Iaitu walaupun penggunaannya dianggap maslahah, tetapi syariat masih menetapkan kadarnya. Kadar bagi setiap maslahah itu. Sekiranya gelang tadi dipakai sepanjang-panjang hari, minggu, bulan bahkan tahun, mana lagi kadarnya?

Tahukah anda bahawa maslahah dalam ilmu usul fiqh juga hampir-hampir tidak diterima oleh ramai ulama untuk dijadikan dalil bagi menentukan sesuatu hukum syarie. Oleh itu, sekiranya kita rujuk kepada kitab-kitab karangan ulama silam, (sila rujuk matan alwaraqat) tidak ada langsung bab yang membincangkan tentang maslahah ini. Namun sekiranya kita merujuk kepada kitab-kitab tulisan ulama kini, nescaya ada perbincangan di dalamnya.

2. Kenapa khusus di pergelangan tangan?
Kalau ia ubat, masakan tidak boleh dipakai di kaki? Lengan? Paha? dan tempat-tempat lain pada badan yang akan menghilangkan terus kemungkinan ia menjadi fitnah iaitu menyerupai pakaian kaum wanita. Sekiranya diamati, pergelangan tangan ini bukan merupakan pusat bagi perubatan di sistem badan, tetapi perut. Bukankah apabila sakit perut kita makan ubat yang masuk ke dalam perut, sakit kepala, sakit sendi dan sebagainya. Maksudnya, pergelangan tangan bukanlah pusat perubatan dalam sistem badan manusia.

Begitu juga, adakah sesuatu ubat akan berkesan sekiranya dipakaikan di satu sahaja pergelangan tangan? Sebelah satu lagi tidak pula. Sekiranya orang putus tangan, maka tidak boleh lagi berubat dengan kaedah ini? Apa pula?

Kalaupun perlu sangat dipakai di pergelangan tangan, kenapa tidak dijadikan tali jam? Tidakkah pemakaian jam tersebut sudah tidak mendatangkan apa-apa fitnah lagi kerana kepentingan manusia terhadap masa? Tetapi tidak pula syarikat-syarikat yang mengeluarkan gelang perubatan ini melakukannya sebagai tali jam alternatif yang bersifat perubatan.

3. Agenda tersembunyi musuh Islam.
Mungkin ini juga termasuk dalam agenda tersembunyi musuh Islam yang sengaja ingin menjauhkan umat Islam daripada ajarannya. Ia seperti Fun, Fesyen, Food dan sebagainya. Sekiranya ada dikalangan umat Islam yang memakai gelang ini, ia menjadi petunjuk kepada mereka bahawa umat Islam telah berada pada tahap yang terlalu jauh daripada syariat mereka sendiri. Sekiranya demikian, strategi mereka telah menjadi dan mereka akan menggerakkan strategi yang pelbagai lagi. (ana tidak bermaksud untuk menghuraikan bab ini pada masa ini)

4. Mukmin sejati
Sebagai seorang Islam yang tidak sesekali melakukan sesuatu tanpa usul periksa, maka elok sekiranya kita memilih untuk menjadi seorang yang warak. Iaitu mereka yang meninggalkan perkara-perkara syubhah dan khilaf (perbezaan pendapat) di kalangan ulama.

5. Menyerupai tangkal
Ulama telah bersepakat bahawa tangkal adalah suatu unsur syrik yang nyata. Untuk lebih memahamkan masyarakat maka KPM telah memasukkan subjek ini di dalam kurikulumnya (syirik jali – rujuk sukatan pelajaran pendidikan Islam tingkatan 4, Kementerian Pelajaran Malaysia). Pemakaian tangkal juga dikatakan untuk tujuan perubatan. Ia adalah haram dan syirik kepada Allah. Tidak boleh diamalkan.

Kesimpulannya, ana berpendapat bahawa pemakain gelang bagi tujuan perubatan adalah omong-omong kosong sahaja. Ana selalu berdoa agar tidak termasuk di dalam golongan yang mengeluarkan pendapat ambil mudah kerana katanya agama itu mudah. Bagi ana, agama memang mudah tetapi jangan kita ambil mudah perkara-perkara agama. Agama mudah bagi orang yang mudah menerimanya. Tetapi amat payah bagi orang yang tidak mahu menerimanya. (mudah yang bukannya ditafsirkan oleh orang yang biasa mengatakan sesuatu itu mudah)

Kata orang, kerana cinta lautan api itu mudah direnangi. Marilah kita mencintai Allah dan syariatNya, agar kita meraskan yang berlawanan dengan nafsu kita pun sebagai mudah sahaja bagi kita mentaatinya.

Wallahu aklam. Sekadar pandangan peribadi. Wassalam…