Tahun 2012 Miladi

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Pagi ini, sempat berbual-bual dengan seorang ‘orang tua’ di kampung. Bertanya khabar dan bertukar-tukar pandangan dan mengambil nasihat serta pengajaran daripada kata-katanya.

Sambil mengeluh, beliau menyatakan “ermm.. lepas setahun, setahun masa berlalu begitu sahaja”.

“Berlalu begitu sahaja ke pakcik?” ana menyampuk.

Lagi

Ceramah keibubapaan

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Alhamdulillah, pagi ini ana diberi ruang dan kesempatan berkongsi sedikit pengalaman dan ilmu pengetahuan bersama sekitar 60 orang ibubapa dari sekitar Sibu dalam program Ceramah Lonjakan Pelajar-pelajar Muslim Tahap-2 Sekolah Rendah. Program ini dianjurkan oleh Biro Perkhidmatan Pendidikan, Majlis Islam Sarawak (MIS) dengan kerjasama Pejabat Pelajaran Daerah Sibu manakala Jawatankuasa pengurusan Masjid al-Nur, Sibu pula menyediakan masjid ini sebagai tempat program dijalankan.

Lagi

Baik untuk dikongsi

Sukacita dikongsikan sebuah email yang ditulis dan telah memberi kesan kepada banyak pihak. Sekiranya anda adalah penulisnya dan mendapati ia juga ada di blog ini, ketahuilah bahawa kebaikan dalam pengalaman anda telah cuba dikongsikan untuk kesedaran ramai. Semoga diberikan ganjaran yang baik bertepatan dengan baiknya nukilan anda itu. Wallahu aklam.

Kepada para pengunjung IbnRajab Online, inilah emailnya..

Lagi

Cinta

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Peribahasa melayu meninggalkan pepatah “Seperti labah-labah cintakan telurnya” bermaksud “Kasih sayang yang tak dapat dipisahkan” (Kamus Istimewa Peribahasa Melayu). Manakala Kamus Dewan Edisi Empat (terkini) pula menggariskan makna cinta sebagai “perasaan atau berperasaan sangat sayang kpd” sesuatu sama ada negara, orang tua, kebebasan dan lain-lain.

Cinta jika diterjemahkan kepada bahasa Arab bermaksud “Hubb”. Ada lagi beberapa perkataan yang ada kaitan dengan kasih sayang dalam bahasa Arab seperti al-Wud. Daripada dua perkataan ini “al-Hubb dan al-Wudd” keluarlah istilah mahabbah dan mawaddah. Kedua-duanya adalah istilah dalam berkasih sayang. Kasih sayang itu pula secara langsungnya dikaitkan pula dengan syariat agama. Seperti didoakan agar sebuah keluarga yang hidup aman damai dalam suasana kasih sayang itu sebagai “mawaddah wa rahamah”. Perkataan “rahmah” itu adalah pinjaman daripada sifat Allah yang Maha Esa lagi Maha Pengasih Sayang.

Lagi

Suatu kisah benar

Dahulu ana terlibat menjadi ejen sebuah syarikat takaful (zalim) yang (kononnya) berunsurkan Islam. Beberapa kali ana diberitahu oleh rakan-rakan bahawa GM (general manager) unit ana itu konon cakap memperjuangkan Islam melalui takaful tetapi solat jumaat pun tak pernah nampak. Macam biasa ikut prinsip Islam kita tidak boleh dengan mudah mempercayai sesuatu cerita. Namun, setelah bergaul dengannya lama kelamaan hati mempercayai bahawa GM tak pergi solat jumaat. Solat yang lain entah lah juga. InsyaAllah dia buat..

Terminate
Dalam masa setahun ana berjinak-jinak memperkenalkan takaful tersebut kepada sanak saudara dan rakan-rakan terdekat, pendapatan bulanan (komisen) yang diperolehi daripada usaha tersebut telah mula menampak. Dua tahun ia telah menjadikan pendapatan bulanan ana 300-400 sebulan. Bagi ana yang hanya ingin terlibat dalam perniagaan tersebut secara part time sudah lebih daripada cukup. Ana anggap bisness ana itu suatu hobi dan kelebihan kerana dapat berkongsi idea yang baik (takaful Islam) bersama klien.

Nak dijadikan cerita ana kena hadiri kursus selama 14 minggu. Selama itu ana tidak dapat klien walaupun seorang. Kecuali setelah ana tamat kursus ana berjaya dapatkan sepupu sebelah isteri yang baru disahkan jawatan dan berminat dengan takaful. Tiba-tiba (setelah pendapatan bulanan hasil komisen telah mencecah RM400++) maka ana dapat satu surat daripada pihak pengurusan takaful berkenaan menyatakan ana telah di’terminate’kan.

Akibat

1. Semua jumlah komisen ana (klien lama dan baru yang telah mencecah RM400++ sebulan) akan dimasukkan ke akaun GM (up line) berkuatkuasa serta merta.

2. Semua sijil-sijil dan kad kuasa ditarik balik.

3. Masih melayan karenah-karenah ahli yang telah masuk takaful dengan ana. Bila diminta GM yang uruskan, dia buat tak tahu yang menyebabkan akhirnya mereka (klien) cari ana juga. (free services)

Rasa tidak Islamik
1. Islam tidak menganjurkan aniaya.

2. Tiada satu surat amaran pun dikeluarkan bagi menyatakan kedudukan sebenar status ‘sale’ ana. Kalau pun malas nak memberikan motivasi.

3. Bisness oriented: sememangnya menggunakan nama Islam untuk semata-mata mengaburi mata klien. Pengamal (ajen atau GM) yang tidak mengamalkan Islam (contoh tak solat jumaat) tidak dikenakan tindakan. Asal sahaja dapat bawa keuntungan kepada syarikat. Jika tidak, akan diterminate dalam keadaan menzalimi orang lain (kerana hasilnya akan dimasukkan ke dalam akaun upline)

Sebab
Kawan-kawan ana (ajen yang belum diterminatekan lagi) menyatakan ‘sale’ ana tak cukup. Sepatutnya ana perlu dapat komisen RM1400++ sebulan atau jumlah komisen tahun RM16000++ (16k). Ini dapat komisen RM400++ sahaja sebulan dan dalam lingkungan RM4800 sahaja setahun. Jauh sangat dari target. Memang boleh kaya orang yang buat takaful.

Ana bukannya bisnes takaful secara sepenuh masa. Ana guru dan perlukan komitmen pada tugas utama itu. Ana join takaful ini sebenarnya nak cari ramai kawan. Bertukar-tukar pandangan dan membina kefahaman orang lain. Itu sahaja ‘oriented’ ana bukannya duit atau ‘side-income’. Ana sangat bersyukur kerana dengan jadi ajen walaupun dalam tempoh yang sangat singat, ana lebih faham apa itu takaful dan kepentingannya dalam kehidupan muslim.

Apa sudah jadi
Ana masih lagi setia dengan syarikat takaful (dengan menyertai produk-produknya sehingga kini). Bayaran bulanan ana dibuat secara potongan gaji. Jadi ana buat lupa sahaja amaun yang dibayar kepada syarikat tersebut.

Tiba-tiba, syarikat ini telah ditelan pula oleh institusi kewangan yang berpengaruh di negara ini. Terpaksa menjenamakan semula. Ana lihat betapa lintang pukangnya sesuatu perkara yang kulitnya sahaja nampak macam mengamalkan Islam. Tapi sebaliknya, segala isi-isi dan benihnya hanyalah bisnes dan mengejar kekayaan semata-mata. Tukarlah nama apa pun tapi kalau perjuangan yang tidak ikhlas ditambah pula dengan orang-orang yang bekerja di dalamnya munafik maka sesuatu yang sangat menghinakan akan berlaku. Syarikat bawa nama Islam tapi kena telan oleh sebuah institusi kewangan bukan Islamik. Betapa malunya. Dan memalukan Islam.

 Ana berazam, kalau dapat anak baru nanti, tak mahu lagi sokong syarikat yang kononnya ingin memperjuangkan kewangan bangsa dan agama. Ana nak cari yang lebih islamik dan masih bertahan dengan nama asalnya. Dari dulu sehingga sekarang. Bagaimanapun ana berdoa sekiranya suatu ketika dahulu ana dizalimi (RM400++ sebulan itu walaupun tidak banyak tetapi ia adalah hak) semoga Allah memberi hidayah taufik agar mereka bertaubat. Dan taubat yang paling dikehendaki ialah agar mereka tidak berselindung di sebalik nama Islam untuk menjual Islam dengan harga yang murah!

 Wallahu aklam.

Kalau sudah rezeki

Hari ini ana teringat kisah seorang bilal kampung ana dahulu. Sebenarnya kampung tempat tumpah darah. Tapi kini ana berkampungkan tempat baru. Nama pun kampung baru. Kampung lama dulu keluarga ana hanya tinggal di atas tanah milik orang. Lama kelamaan terpaksa juga kami pindah. Ke kampung sekarang ini. Tetapi ana tak nak ingatkan kisah pindah randah cuma ana nak kongsikan ingatan ana ini kepada Allahyarham bilal kampung tersebut. Kisah ni dah lama. Tapi pengajarannya ana simpan sampai bila-bila dan akan ana warisi turun temurun.

Ia tentang seorang bilal. Kerjanya membajak tanah untuk para petani. Beliau (pada masa itu) menggunakan jentera pembajak tanah yang ana panggil “kete gala”. Sekarang ni pun jika ana terserempak dengan ‘kete gala’ seumpamanya ana pasti teringatkan kisah berkenaan. Allahyarham bilal itu selalu mengadakan ceramah maghrib (atau lebih tepat ana namakan sebagai sesi bercerita dan mengambil teladan) tentang kisah-kisah para Nabi. Kadang-kadang beliau menceritakan kisah hidupnya untuk dikongsi dan dimanfaatkan pengajarannya secara bersama oleh para hadirin yang datang bersolat jemaah maghrib dan isyak. Sementara menunggu masuk waktu isyak.

Kisahnya pada suatu hari, beliau membajak tanah sehingga hampir masuk waktu maghrib. Tidak sedar bahawa beliau telah pergi terlalu jauh dan susah pula hendak pulang ke rumah (ya lah, naik ‘kete gala’ bukan selaju dan boleh pecut macam kete wira). Esok pun beliau akan meneruskan kerja membajaknya juga. Jadi beliau mengambil keputusan ingin bermalam sahaja di sebuah surau yang ada di kampung berkenaan. Keluarganya di rumah pasti sahaja sedia maklum kerana sebelum ini pun beliau pernah asyik membajak dan terpaksa bermalam di tempat kerja (surau kampung).

Setelah sampai di surau tempatnya akan menghabiskan sepanjang malam itu, beliau terus sahaja menyiapkan diri kerana waktu maghrib pun sudah sangat hampir. Kaum muslimin dan muslimat sudah mula datang ke surau bagi menunaikan solat secara berjamaah. Kebanyakkan orang kampung berkenaan juga mengenali beliau. Mereka malah mengalu-alukan beliau untuk menginap di surau kampung mereka. Kebetulan, Allahyarham bilal ini warak dan alim juga orangnya. Berkhidmat kepada orang alim merupakan kebanggaan kepada setiap orang muslim (pada ketika itu).

Selepas sahaja solat isyak (kebiasaanya beliau akan pulang ke rumah dan menikmati makan malam bersama keluarga) terus beliau teringat yang beliau belum menjamah makanan (nasi) semenjak tengahari. Sepanjang kerja hanya meminum air kosong dan sedikit bekalan kuih muih daripada isterinya. Itupun awal pagi tadi. Perut pula mula mengeluarkan bunyi tanda minta diisi. (mengikut fakta ceramah kesihatan yang sempat ana hadiri, sekiranya tiba waktu makan, mengikut jadual makan kita, perut akan mula mengeluarkan enzim dan asid perlu untuk aktiviti penghadaman, dan persediaan2 tersebut kadang2 akan mengeluarkan bunyi yang kita selalu namakan sebagai isyarat untuk makan). Kebetulan malam itu pula tidak ada tanda-tanda ada orang mengadakan jamuan (biasanya orang Kelantan akan menjemput para jemaah surau atau masjid sekiranya mereka melakukan kenduri atau apa sahaja jamuan makan)

Oleh kerana tidak nampak kedai yang menjual makanan di sekitar surau itu, beliau mengambil keputusan untuk tidur tanpa makan malam. Beliau memujuk diri mengatakan ‘esok sahajalah kita ambil sarapan’ (biasa orang kampung di Kelantan tidak jual makanan pada waktu malam kecuali jika di kedai makan khas, tetapi jika waktu pagi, ada sahaja gerai yang dibuka untuk menjual kuih muih, nasi dagang, nasi lemak, nasi kerabu dan pelbagai juadah sarapan pagi, kat kedai makan pula ada roti canai dan segala jenis minuman).

Cuma sebelum melelapkan matanya, secara tidak sengaja beliau bermunajat di dalam hati kepada Allah “Tuhan, hambamu hari ni sedang lapar ni, izinkanlah matanya agar mudah lelap”. Memanglah kebiasaannya jika lapar susah sikit hendak tidur. Maka beliau mencari ruang yang sesuai untuk beristirehat. Seperti biasa beliau menghabiskan wirid-wirid rutinnya sebelum merebahkan badan.

Sebentar kemudian, terdengar ada orang memberi salam. “Ayah jemput tuan untuk makan malam di rumah kami” Katanya setelah salam dijawab.

Sekian, wallahu aklam.

p/s: Sebagai seorang hamba, jangan kita fikir rezeki yang datang kepada kita semuanya hasil usaha kita. Sebenarnya Allah lah yang memberi rezeki. Cuma kebanyakkan rezeki datang kepada kita melalui hasil usaha kita. Jangan ingat apabila kita berbuat baik maka kerana kita yang sukakan kebaikan dan kerana kita sihat, ada kemudahan dan kelapangan untuk berbuat baik. Sebenarnya Allah yang dengan kasih sayangnya memilih kita dan menguatkan kita untuk melakukan kebaikan. Jika kita sedar dan bersyukur, nikmat-nikmat tersebut akan ditambah dan sekiranya kita lalai dan syok sendiri, maka azab Allah bakal menanti. Berdoalah selalu agar kita sentiasa disayangi Allah.. doa, itu sahajalah hak kita, dan yang lain-lainnya adalah hak Allah.