300

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Kebetulan tulisan ini adalah entry blog IbnRajab Online yang ke-300. Dalam tempoh masa dua tahun lebih usia blog kecil ini (bermula september 2007) iaitu dalam masa lebih 800 hari, dimuatkan dengan 300 artikel bermaksud purata ana menulis dan berkongsi idea di sini adalah dalam lingkungan satu artikel untuk dua hari. Atau mungkin lebih tepat satu artikel untuk tiga hari. Apa-apapun, harapan semoga tulisan yang sedikit itu mampu merealisasikan impian dan harapan penulis sendiri iaitu “mengharap pahala, walaupun di saat tuannya sedang dibuai mimpi”. InsyaAllah.

Suatu hari mak ana pernah bertanya “Apa hal tulis blog?”. Ana jawab ringkas “Mak, setiap kali menulis, saya tulis lafaz ‘Bismillahirrahmanirrahim’ kemudian saya bagi salam, mungkin ada orang baca tulisan saya jadi secara tidak langsung ia memberikan saya pahala kerana membantu orang lain menyebut nama Allah (dalam kalimah basmalah) dan menyampaikan syiar Islam iaitu al-Salam”. Mak ana angguk-angguk. Mungkin setuju.

Lagi

Sua Rasa TV9, Kota Bharu

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Kerana teruja MB Kelantan masuk TV, Exco pelancongan Kerajaan Negeri Kelantan pun dah masuk TV, Semua personaliti TV wanita pakai tudung dan menutup aurat serta semua promoter perempuan untuk kesemua rakan niaga di sua rasa anjuran TV9 itu mengenakan pakaian tutup aurat maka ana terpaksa melayan juga ajakan anak-anak untuk mengunjungi program sua rasa TV9 kali ini, di Kota Bharu Bandaraya Islam itu.

Memang sesuatu yang unik dan sangat istimewa program anjuran sesebuah stesen TV kali ini. Seolah-olah semua masyarakat diajak turun ke satu lembah yang sangat berbeza di negara kita. Mungkin dianggap asing barangkali. Kota Bharu telah mengubah pendirian bahawa apa sahaja yang dikehendaki oleh manusia, ia semestinya boleh dilakukan. Sebaliknya kalau tak hendak, seribu jugalah dalihnya.

Episod semua ini bermula dengan satu pendekatan yang diluahkan sendiri oleh YAB Menteri Besar Kelantan di dalam mengurus dan menjana ekonomi. “Saya ingin memetik satu potong ayat al-Quran dalam menarik orang ramai ke sini (sua rasa), berbelanja jangan sampai boros dan menyimpan jangan sampai kedekut”. Kemudian selang beberapa minit (secara langsung dari TV9) seorang exco Kerajaan Kelantan pula meluahkan satu moto apabila ditanya apakah pendirian kerajaan kelantan berkenaan dengan budaya dan pelancongan negeri unik ini “Moto kita, Budaya kita bedung (macam ibu membedung anak yang sedang disusukannya) iaitu kita kena jaga elok-elok dengan sepenuh perhatian, Syariat pula kita junjung”

Maka berduyung-duyung lah ‘ore kelate’ memasuki perkarangan stadium sultan muhammad ke-4. Ana sendiri hampir dua jam berada dalam kereta setelah menurunkan anak-anak di tempat program untuk mencari parkir. Akhir sekali kerana sangat penat tekan ‘cluth’ ana parkir juga kereta di jalan pengkalan chepa yang agak jauh itu. “Jauhnya abi parking kete” luah anak sulong ana ketika menuju ke kereta untuk pulang. Apa nak buat, tak larat dah nak pusing kereta tu untuk datang jemput kalian semua depan pintu sua rasa nih. Entah berapa jam lagi lah nak balik.

“Kita harap akan ada lagi sua rasa versi kedua diadakan di Kota Bharu” komen seorang pegawai tinggi celcom selaku penaja utama program sua rasa ini apabila melihat sambutan orang ramai dan sudah tentu ‘sale’ yang menggila berjaya dilakukan di sini. Begitu juga luahan kegembiraan yang sama datang daripada setiap peniaga yang berpeluang berkampung dan berniaga di sini. Kata Aziz Desa “tiga kontena biskut habis dijual, bukannya tiga tong”.

Hebat. Unik. Dan benda memang boleh buat kalau nak. Mereka yang mempromote jualan semuanya bertundung dan menutup aurat (wanita). Sudahlah papan-papan iklan dah lama kena tutup aurat. Maya karim dan rita rudaini pun bertudung dan menutup aurat kat iklan celcom blue di sini. Di seluruh negeri.

Orang ramai datang macam tu juga. Cuma mungkin bezanya mereka datang sambil berwaspada dengan iman di dada. Nak lebih-lebih tu mungkin ada lah sorang dua yang entah keluar dari hutan mana. Majoritinya jaga aurat, jaga akhlak. Promosi dan jualan berlaku macam tu juga. Ada orang beli dan ada orang jual. Cuma mungkin bezanya mereka berjual beli dengan penuh ketenangan, tak ada peluang menggoda dan digoda oleh keseksian promoter-promoter kot.

Pembeli mana yang tak suka sekiranya kedatangan mereka disambut dengan senyuman penuh keikhlasan yang tidak berselindung disebalik aurat yang dibuka-buka dan diperjudikan. Para isteri pun tidaklah resah sangat bila sang suami berurusan dengan mereka yang baik akhlak, budi bahasa, penampilan agama yang terjaga.

Penjual pun begitu juga. Siapa yang tak suka dan tak rela melayan para pelanggan yang sopan mengunjungi mereka. Tak beli pun tak apa asal ada budi bahasa. Macam tuan sesebuah rumah, kalau ada orang yang bertudung labuh, baik pakaiannya dan memberi salam pula, kan suka hati melayannya. Berbanding tetamu yang sudahlah tidak diundang, kedatangannya pula dengan pakaian tak senonoh, rambut diwarnakan dengan pelbagai warna, cucuk sana sini, tebing telinga dan pusat. Tak senang duduk kalau tetamu macam ni datang ke rumah. Barangkali, si pekedai pun rasa begitu juga kalau pelanggan yang tidak berakhlak mulia berkunjug ke kedainya. Walaupun targetnya adalah duit yang ada dalam poket pelanggan. Itu yang utama namun keseronokan hati kadang-kadang memberi lebih bahagia.

Apabila bunyi saja laungan azan, semua benda yang mengeluarkan bunyi dihentikan. Bukan setakat diperlahankan lagi. Orang ramai pula berpusu-pusu menuju tempat solat jemaah diadakan. Sehingga ada yang tak dapat ruang dan terpaksa cari tempat solat lain termasuk ana dan keluarga.

Tahniah kepada TV9. Semoga berjumpa lagi pada kesempatan yang akan datang. Buat mereka yang memperolehi keuntungan hasil jualan mereka kat sini, semoga keuntungan itu adalah berkat. Akhir sekali, kalau kita nak, memang kita boleh buat. Tapi kalau kita dah tak suka, macam-macam alasanlah kita cipta!

Pesan saidina umar al-khattab “Kita suatu masa dahulu (sebelum Islam datang) adalah kaum dan masyarakat yang hina, kemudian Islam datang lalu kita jadi mulia. Barangsiapa yang mencari kemuliaan selain dari apa yang Islam anjurkan, maka Allah lah yang akan menghina mereka (kembali seperti sebelum kedatangan Islam malah mungkin lebih teruk lagi)”

Sekian laporan sua rasa dari kota bharu. Dari sudut pandangan ana secara peribadi. Wallahu aklam.

Cerita TV bersiri

Bismillahirrahmanirrahim

Semua orang sedia maklum cerita bersiri di TV. Ia sesungguhnya telah berjaya menarik minat masyarakat seluuhnya. Kecil besar tua dan muda. Apabila sudah terlekat dengan mana-mana siri TV bersiri, pasti mereka sukar melupakan saat siarannya. Kadang-kadang sanggup melupakan atau sekurang-kurangnya mengangguhkan kerja walaupun ia perlu disegerakan. Kerana terlalu terikat dan jatuh hati.

Suasana akan menjadi lebih gempar apabila keseronokan menonton siri bersiri dapat dikongsi bersama rakan-rakan, sahabat handai, ahli keluarga dan siapa sahaja. Di mana-mana, bila-bila masa apabila bertemu, pasti kisah bersiri itulah yang akan menjadi topik perbualan utama. Kadang-kadang melebihi keutamaan bertanyakan khabar berita.

Paling dahsyat lagi kalau sekiranya waktu untuk menunaikan kewajipan pun turut diabaikan. Solat ditunaikan secara bertangguh. “Alah, lepas ni pun boleh solat” merupakan alasan biasa yang keluar dari bibir seorang anak yang ditegur oleh orang tuanya agar segera mendirikan solat apabila telah masuk waktunya. Itulah, apabila dah terkena bahang kehebatan siri TV.

Ada orang tanya, adakah caranya untuk tidak terlalu melekat kat cerita TV bersiri? Mungkin orang yang tak minat dengan mudah sahaja menjawab “Anggap aje cerita esok lagi menarik”. Ataupun kalau orang yang mampu mereka pasti kata “Beli aje cerita itu dalam bentuk VCD, boleh tengok bila-bila masa”. Atau kalau orang baru belajar buat bisnes mereka kata “Bisnes aku tak laku, orang tak tengok pun, takan nak tengok hasil bisnes orang lain”.

Maksudnya, apabila seseorang itu ada target, ada wawasan, ada pendirian mereka pasti tak melekat kat depan TV untuk tengok dan ikuti secara taasub cerita bersiri itu. Mereka sebaliknya faham, kewujudan media hiburan adalah untuk mengisi kekosongan. Sebagai contoh, seorang yang terlibat dengan urusan kaunter (bank, pejabat pos, imigresen dll) dan sedang menunggu giliran, dan malas pula bawa dan membaca buku, sudah tentu media hiburan seumpama itu dapat mengisi kekosongan yang sementara. Itulah sebenarnya fungsi media hiburan.

Kalau nak menjadikan matlamat kehidupan adalah mengikuti segala rancangan hiburan bersiri, sudah tentu ia tidak akan sampai ke kemuncaknya. Kerana kalau ikut logik, pengarah filem akan buat yang terbaik sepanjang masa. Sepanjang karier. Cuma kita yang tak pandai buat yang terbaik terhadap masa kita.

Sekian, wassalam.

Agama Allah hanyalah Islam

Bismillahirrahmanirrahim

Tulisan ana hari ini adalah berkaitan dengan program di Tv9 siaran segmen al-Risalah 25 Sept 2008. Ia berkenaan dengan kisah nabi Allah Sulaiman As dan kisah semut dalam surah al-Naml. Pada program itu, mereka (suara latar) mengatakan bahawa “Raja Balqis telah tertarik hati lalu memeluk agama Yahudi bersama dengan Nabi Allah Sulaiman As”.

Adakah Nabi Sulaiman seorang penganut agama Yahudi? Adakah benar raja balqis peluk agama Yahudi setelah sekian lama menjadi penyembah matahari? Tahukah anda bila sebenarnya agama Yahudi ini muncul. Bila ia diberinama agama Yahudi? Secara kesimpulannya ana berpendapat bahawa, ini merupakan sesuatu isu yang timbul sekiranya sesuatu perkara agama itu hendak disampaikan oleh orang yang tidak ingin membuat rujukan yang cukup. Rujukan yang utama itu pula adalah al-Quran al-Karim itu sendiri.

Al-Quran adalah Kalam Allah yang dijamin oleh Allah akan kekal menjadi panduan orang Islam sehingga hari kiamat. Tidak akan ada seorang manusia atau apa sahaja termasuk mesin (mechine, komputer dll) yang boleh merosakkan ketulinan al-Quran. Sebagai logiknya, cubalah anda carikan suatu sumber samada bertulis apatah lagi sumber tuturan yang boleh bertahan seperti al-Quran. Al-Quran sehingga hari ini telah bertahan lebih dari 1429 tahun. Semua ayat-ayat yang dibaca oleh umat Islam hari ini adalah ayat-ayat yang sama dibaca oleh Rasulullah dan para sahabatnya suatu masa dahulu. 100% sama dan original.

Dalam al-Quran, Allah membawa kisah Balqis itu. Allah berfirman (surah al-Naml ayat 44, maksudnya) “Kemudian dikatakan kepada (raja itu) masuklah ke ruang istana (nabi Sulaiman). Tatkala dilihatnya (lantai) ruang itu disangkanya penuh dengan air lalu disingsingkan (kainnya) dari betis (supaya jangan basah). Berkata (nabi Sulaiman, ini bukan air) ini ruang dilicinkan (diperbuat) daripada kaca. Ratu berkata Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah aniaya diriku dan aku (dengan ini memeluk) Islam bersama Sulaiman kepada tuhan semesta alam”.

Dalam ayat itu jelas, terang lagi nyata Allah gunakan perkataan ‘Islam’ bagi melambangkan agama nabi Sulaiman dan agama (Allah) yang diserunya ketika itu. Kenapa tiba-tiba dengan penuh kedangkalan mereka (semua mereka yang terlibat dengan rancangan siaran itu) secara sewenang-wenangnya menamakan agama nabi Sulaiman adalah agama Yahudi?

Lihat pula ayat-ayat lain yang menceritakan agama nabi-nabi sebelum nabi Muhammad. Firman Allah menceritakan kisah nabi Ibrahim (surah al-An’am ayat 163, maksudnya) “Allah itu tidak ada sekutu bagiNya, dengan itulah aku disuruh (beriman) dan aku adalah (antara) orang-orang pertama (yang tergolong) dalam kalangan muslimin (orang-orang Islam)”.

Ayat yang lain adalah secara langsung berkaitan dengan bani Israil sendiri (bangsa asal mereka yang menganut agama Yahudi hari ini), firman Allah menceritakan tentang kisah firaun yang sedang ditenggelami air laut merah, kononnya ingin bertaubat kepada Allah dan memeluk agama Islam (surah Yunus ayat 90, maksudnya) “Telah Kami selamatkan Bani Israil menyeberangi laut, lalu Firaun serta bala tenteranya mengikuti mereka kerana aniaya dan melanggar batas. Sehingga apabila ia (Firaun) akan tenggelam lalu berkata; Aku percaya bahawa tiada tuhan melainkan yang dipercayai oleh Bani Israil (Allah) dan (dengan ini) saya (ingin dan akan) termasuk orang-orang muslimin (Islam).

Betapa banyak ayat-ayat al-Quran menjelaskan tentang itu. Bahawa hanya sanya agama yang diseru serta dianuti oleh nabi-nabi serta umat mereka pada masa itu adalah agama Islam. Dari dahulu sehingga kini, Agama Islam satu-satunya agama Allah. Agama Kristian, Yahudi dan lain-lain itu adalah agama ciptaan manusia. Mereka (walaupun pada asalnya penganut Islam umat terdahulu) telah menciptakan agama mengikut kehendak hati dan nafsu mereka sendiri.

Sebagai contoh, kata Dr Bahjat al-Habasyinah (Pensyarah Subjek Perbandingan Agama, Universiti al al-Bayt, Jordan. 1996) “Agama yahudi itu diasaskan oleh seorang (yang asalnya menganut agama nabi Musa (Islam) yang bernama yahuza. Kemudian beliau berasa ada kekurangan dalam agama Allah itu yang berlawanan dengan hasrat dan hawa nafsunya, lalu beliau menokok tambah apa-apa dalam ajaran kitab taurat mengikut kedangkalan akal dan nafsu. Lama kelamaan, mazhab beliau ini menjadi suatu agama yang dinasabkan (dinisbahkan) kepada dirinya. Sehingga hari ini mazhab tersebut telah dinamakan agama Yahudi”.

Kesimpulan
Walaupun hari ini kita ingin mengetengahkan (samada mendapat pekerjaan atau mata pencarian melalui) produk berjenama Islam, dan sangat teruja mengetengahkan nilai-nilai murni, tetapi jangan sekali-kali kita tergesa-gesa. Sehingga kita mengatakan sesuatu yang tidak kita ketahui. Ia sama sekali akan merosakkan Islam itu sendiri. Kerana apa yang orang akan fikir apabila ada dalam kalangan orang Islam mengatakan nabi mereka adalah penganut agama Yahudi? ini suatu fitnah!

Sekali lagi ditegaskan bahawa, satu-satunya agama yang diterima Allah itu adalah Islam (surah ali-Imran ayat 19). Semua nabi menyeru agama Islam. Semua ayat al-Quran menegaskan tentang hal ini. Masakan sanggup si kerdil itu menamakan agama nabi Sulaiman dan agama yang dianuti oleh umat nabi Sulaiman dan agama yang menarik hati raja Balqis, adalah agama Yahudi laknatullah! Maha Suci Allah dan agama Allah (Islam) daripada segala bentuk fitnah, terutama dengan menggunakan lidah orang-orang yang mengaku beragama Islam itu sendiri.

Sebagai rakyat Malaysia, yang telah merdeka lebih 51 tahun, apatah lagi sebagai seorang Islam, ana amat kecewa dengan program tv9 semalam. konon atas nama al-Risalah. Apa pendapat anda? Merdekakah jiwa dan fikiran anda?

Wallahu aklam.

Rujukan: Tafsir Quran Karim. Prof Dr H. Mahmud Yunus. Nota Kuliah Perbandingan Agama. Universiti al al-Bayt, Jordan 1996.