300

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Kebetulan tulisan ini adalah entry blog IbnRajab Online yang ke-300. Dalam tempoh masa dua tahun lebih usia blog kecil ini (bermula september 2007) iaitu dalam masa lebih 800 hari, dimuatkan dengan 300 artikel bermaksud purata ana menulis dan berkongsi idea di sini adalah dalam lingkungan satu artikel untuk dua hari. Atau mungkin lebih tepat satu artikel untuk tiga hari. Apa-apapun, harapan semoga tulisan yang sedikit itu mampu merealisasikan impian dan harapan penulis sendiri iaitu “mengharap pahala, walaupun di saat tuannya sedang dibuai mimpi”. InsyaAllah.

Suatu hari mak ana pernah bertanya “Apa hal tulis blog?”. Ana jawab ringkas “Mak, setiap kali menulis, saya tulis lafaz ‘Bismillahirrahmanirrahim’ kemudian saya bagi salam, mungkin ada orang baca tulisan saya jadi secara tidak langsung ia memberikan saya pahala kerana membantu orang lain menyebut nama Allah (dalam kalimah basmalah) dan menyampaikan syiar Islam iaitu al-Salam”. Mak ana angguk-angguk. Mungkin setuju.

Lagi

Advertisements

Surat untuk mak..

Mak…..
Terlalu bosan rasanya duduk membilang hari…..
Dah hampir sepuluh bulan mak pergi,
Rasanya baru semalam mak peluk kiter kan?
Sejuk syahdu masih terasa lagi nih….

Mak tau tak…..
itu lah pertama kali mak peluk anak mak yang nakal ni sejak kiter dewasa……
dan itu jugalah terakhir kali nya.
Emmmm… rupanya mak dah tau mak nak pergi jauh…..
nak tinggal kan anak-anak mak…..
nak tinggal kan dunia fana ni…..

mak macam dah sedia…..
Seminggu sebelum tu…..
mak dah menganyam tikar mengkuang 3 helai…..
Akak kata sampai ke pagi mak anyam tikar tuu….
tanpa rasa mengantuk, tanpa rasa letih…..
kakak pun rasa hairan…..
mak tak penah buat gitu…..

pastu mak pasang radio kecil di sebelah mak…..
tapi mak seolah-olah tak sedar bahawa rancangan radio tu siaran siam ……
kekadang siaran indonesia …
mak terus tekun menganyam…
Rupanya tikar yang telah mak siapkan tu di gunakan untuk mengiringi mak ke kuburan…

Pastu mak sapu sampah sekeliling rumah bersih-bersih….
pastu mak jemur karpet-karpet…
pastu mak ubahkan sofa ke tempat lain..
mak biarkan ruang tu kosong..
rupanya kat situ jenazah mak diletakkan..

paling menarik sekali mak bgtau kat mana semua duit dan barang kemas mak…
ada kat dalam almari…..
ada kat dalam dalam beg…..
ada dalam ASB…..
ada kat dalam Tabung Haji.. 
mak cakap tak berapa cukup lagi.. ada kat dalam gulung tikar…..

masa tu mak perasan takk..??
kiter gelak sakan bila mak bgtau duit dalam gulung tikar…
kiter kata mak ni memang pesen lama laaa…
mak cuma gelak jer…
eeemmm..bahagiaa nya saat ituu..

Mak…..
Hari tu hari sabtu 18/08/xxxx pukul 3 petang mak tiba-tiba sakit perut…..
bila malam tu kiter sampai dari KL.. mak dah dalam kesakitan.
Akak dan abang kat kampong semua dah pujuk…..
mak tetap tak mau pi hospital…..
dan cuma tinggal giliran kiter sahaja yang belum pujuk..
Mak kata mak tak mau duduk dalam hospital…. .
tapi kiter berkeras juga pujukk…
nanti di hospital ada doktor…
ada ubat untuk mak..
kat rumah kami hanya mampu sapu minyak dan urut jer..

Mak tetap tak bersetuju… ..
mak memang degil..
tak salah, anak mak yang ni pon mengikut perangai mak tu..
Tapi akhirnya bila melihat keadaan mak makin teruk….
mak sakit perut sampai nak sentuh perut mak pon sakit
kami adik beradik sepakat hantar juga mak ke hospital.

Mak…..
amponkan kami semua…
kami nak mak sehat…
kami sayang mak…
kami tak mau mak sakit…
kami terpaksa juga hantar mak ke hospital….
ampon kan kami ya mak….

Mak…..
Malam itu abang bawa mak ke hospital
dan itulah pertama dan terakhir kali mak naik kereta kiter…

Masih terbayang betapa ceria dan gembiranya mak,
kiter kata nak beli kereta….
Mak asyik tanya ajer..
cukup ker duitt..
kiter jawab pula…
kalau tak cukup, mak kan banyak duit…
mak gelak ajerr…..

Lepas tu bila kereta kiter sampai….
mak buat kenduri kesyukuran.. ….
Dan kiter masih ingat lagi…
bila kiter eksiden terlanggar Ah-Chong naik motor…..
Punya la kiter takut…
kiter warning kakak kiter jangan sesekali bagitau kat mak…..
Bila balik sahaja kampong….
kiter cepat-cepat simpan keta dalam garaj…..
Tapi mak perasan juga bumper depan kemek…
mak tanya kenapa…?
Selamba jerr kiter jawab terlangar pokok bunga…..

Mak….
tujuan kiter menipu tu supaya mak tak risau…
Maafkan kiter kerana sampai mak pergi mak tak tau hal sebenar…
mak, kiter menipu mak kan?..
ampon kan kiter..

Mak…..
Jam 4.30 pagi 19/08/xxxx
Bila tiba aja kat hospital….
nurse tengah balut mak dengan kain putih…..
mak mesti nampak kiter jatuh terduduk di lantai hospital…
Mesti mak nampak abang cium dahi mak…..
Mesti mak nampak akak baca doa untuk mak….
Mesti mak nampak adik terduduk kat kerusi kat sudut itu…
mesti mak nampak semua tu kan?…kan?.. kan..

Mak tau tak….
Pagi tu balik dari hospital jam 5.20 pagi kiter mamandu dalam keadaan separuh sedar…
Adik kat sebelah diam melayan perasann…
Kenangan bersama mak berputar dalam kepala ini…
jalan di depan terasa makin kelam…..
airmata dah tak mampu di tahan….
Masa tu seandainya apa-apa terjadi di jalan itu kiter rela…
Namun alhamdulillah akhirnya kiter sampai juga…
di sebab kan pagi masih awal, jadi jalan tu lenggang..
kosong…. sekosong hati ini…..
Sepanjang perjalanan terasa kedinginan subuh itu lain benar suasananya..
terasa syahdu dan sayu… dingin….

Mak…..
Kiter masih ingat lagi…
Kiter baca AlQuran kat tepi mak temankan mak…
Jam 11.00 pagi mak dimandikan …..
Anak-anak mak yang pangku masa mak mandi….
Mak mesti rasa betapa lembut nya kami mengosok seluruh tubuh mak…..
Kiter gosok kaki mak perlahan-lahan…..
Mak perasan tak…?

Makcik yang mandikan mak tu pujuk kiter…..
Dia kata…” dikk…jangan nangis…kalau sayang mak jangan buat gitu…jangan nangis ya..”
Bila makcik tu kata gitu…
lagi laaaa laju airmata ni..
tapi kiter kawal supaya tak menitik atas mak….

Mak…..
Sampai takat ini surat ni kiter tulis…..
kiter nangis ni…..
Ni kat dalam bilik…
baru pukul 4.00 pagi….
Takder orang yang bangun lagi…..
kiter dengar nasyid tajuk “anak soleh” kiter sedih…
kiter rindu kat mak..!

Takpa la….
nanti bila kita selesai sembanyang subuh,
kiter baca yassin untuk mak…
mak tunggu ya..!

Mak..
Sebelum muka mak di tutup buat selamanya… .
Semua anak-anak mak mengelilingi mak…
menatap wajah mak buat kali terakhir….
Semua orang kata mak seolah-olah senyum aja…

Mak rasa tak….
masa tu kiter sentuh dahi mak….
kiter rasa sejukkkk sangat dahi makk…..
Kiter tak mampu nak cium mak…
kiter tak daya….
kiter tuliskan kalimah tauhid kat dahi mak dengan air mawar…
Airmata kiter tak boleh tahan….

Mak mesti ingat kan
yang anak mak ni jadi imam solat jenazah untuk mak…
tapi kite suruh tok imam bacakan doa..
sebab..
kite sebak.. mak

Jam 12 tengahari mak diusung keluar dari rumah juga….
Akak pula dah terkulai dalam pelukan makcik…
badan akak terasa panas…
makk… anak mak yang seorang tu demam….
Mak tauu…
cuma akak sorang saja anak mak yang tak mengiringi mak ke tanah perkuburan..

Mak…..
Hari-hari ku lalui tanpa kewujudan mak lagi…
Begitu terasa kehilangan mak…
boleh kata setiap malam selepas maghrib anak mak ini berendam airmata…
Dan sampai satu tahap….
masa tu malam jumaat selepas maghrib…
Selepas kiter baca yassin dengan kawan-kawan. ….

Entah kenapa biler kat bilik kiter keluarkan gambar-gambar mak..
pastu apa lagi….
semakin kiter tenung terasa semakin sayu…
tangisan tak dapat dibendung…

Mak tauu…
kiter cuba bertahan…
memujuk diri sendiri tapi tak juga reda…
Kiter rasa nak telefon mak…
nak cakap dengan mak….
anak mak yang ni dah tak betul kan…?

Dan akhirnya dalam sedu sedan itu kiter telefon juga ke kampong…
Kiter cakap dengan kakak..
kiter nangis lagi…
Puas la kakak memujuk kiter…
Akak kata… “tak baik laa nangis aje.. doa lah untuk mak!”
Dan akhirnya akak juga nangis.. mak

Mak tau tak..
di saat itu kerinduan terasa menusuk sehingga ke hulu hati…
rasa nyilu sangat…
menusuk-nusuk sehingga terasa begitu sakit dalam dada ni….
Sampai sekarang bila kerinduan itu menjelma…
hanya sedekah al-fatihah kiter berikan…..

Mak….
cukup la sampai sini dulu….
kawan kiter dah ketuk pintu bilik tu….
kejap lagi kami nak pergi solat subuh kat masjid…
selalunya, kiter yang bawak mak naik motor kan ….
kali ni kiter jalan kaki dengan kawan pulak…
esok kiter ingat nak tulis surat kat ayah pula….
Mula-mula kiter tak tau nak hantar mana surat nih…
pastu kawan kiter bagitau…
simpan je buat kenangan..
 
Tapi kita kongsi juga surat ni..
Takper yer mak…
kiter kasi orang lain baca…
Kiter stop dulu…
sebab kawan kiter dah lama tunggu tu…

Akhir kata untuk mak,
I LOVE YOU SO MUCH
dan jutaan terima kasih kerana membesarkan kiter…
memberi seluruh kasih sayang dari kecil sampai masuk sekolah..
sampai masuk unibesiti..
sampai kiter boleh rase naik kapal terbang…
sampai boleh rasa duduk kat negara orang…
sampai akhir hayat ini jasa mak tak akan mampu kiter balas..
Sekian terima kasih,
Yang Benar Anak mak yang dah tak degil.

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Ana sengaja nak panjang email nih. Datang dari seorang rakan yang juga fowardkan email dari seorang rakan yang lain. Apabila membacanya, hati kecil ana tersentuh. Untuk itu, ana kongsikan rasa ini bersama rakan pengunjung laman Kalam IbnRajab. Semoga kita semua dapat mengambil manfaat daripadanya.

Kalau orang belajar kesusasteraan Arab, tentu mereka terjumpa uslub surat seperti ini. Ia dinamakan ‘ratha’. Maksudnya ratapan. Terdapat banyak syair-syair Arab (daripada jahiliy sehingga modern) membincangkan tajuk ‘ratha’ ini. Ia sangat menyentuh hati di samping meninggalkan manfaat kepada setiap yang membacanya. Sekiranya anda tidak rasa apa-apa setelah membaca isi surat ini tadi, mungkin kerana anda baca dengan kadar yang terlalu cepat. Cara membaca surat atau apa sahaja sastera ratha ialah dengan perlahan di samping mengahayati setiap byte (abjad, tanda baca dll) yang digunakan. Sebelum berpindah daripada ayat atas ke ayat bawah, anda perlu berhenti dan menghayatinya terlebih dahulu. Dengan itu, anda akan berada dalam situasi penulis dan dapat merasai sebagaimana yang penulis rasai.

Hasil sastera seperti ini elok sekiranya kita bagi anak-anak baca. Untuk mendidik rasa mereka. Sebenarnya perasaan sayang, kasih, cinta dan sebagainya itu juga perlu kepada didikan. Ia adalah ilmu seperti ilmu lain juga malah lebih halus. Kerana ia melibatkan perasaan. Mungkin anak-anak tak pandai menyayangi orang tuanya kerana mereka tidak pernah lihat bagaimana rupa sayang itu. Sebaliknya, sekiranya mereka membaca tulisan-tulisan ratha orang lain menceritakan sayang mereka kepada seseorang, sedikit sebanyak anak-anak akan mula belajar.

Jadi semua perkara perlu kepada ajaran, didikan dan pupukan. Diajar dididik dan dipupuk. Semoga artikel kali ini mampu mendidik diri ana sendiri, untuk menghargai diri seorang ibu, dan terus berbakti kepada tanpa jemu, selagi ada peluang yang diberikan oleh Allah. Bagi mereka yang ibubapanya sudah tiada, juga masih boleh berbuat kebajikan kepada keduanya. Kerana doa dan amalan anak soleh itu terus akan mengalir kepada mereka tanpa hijab.

Semoga kita mengasihi orang tua kita, untuk kita dikasihi oleh anak-anak kita pula. Dan semoga kita menyayangi orang tua kita, untuk kita dirahmati oleh Allah pula. Sesungguhnya syurga itu dimasuki dengan Rahmat dan kasih sayang Allah SWT. Wallahu aklam.

Ibuku seorang pembohong

Assalamu’alaikum..

*Artikel ini bukan nukilan ana.. tetapi difowardkan oleh seorang sahabat lalu menyentuh hati ana dan  terpanggil untuk berkongsi dengan kalian semua* kisahnya..
 
Memang sukar untuk orang lain percaya,tapi itulah yang berlaku. Ibu saya memang seorang pembohong!! Sepanjang ingatan saya sekurang-kurangnya 8 kali ibu membohongi saya. Saya perlu catatkan segala pembohongan itu untuk dijadikan renungan anda sekalian.

Cerita ini bermula ketika saya masih kecil. Saya lahir sebagai seorang anak lelaki dalam sebuah keluarga miskin. Makan minum serba kekurangan. Kami sering kelaparan. Adakalanya, selama beberapa hari kami terpaksa makan berlaukkan ikan masin dikongsi satu keluarga.
Sebagai anak yang masih kecil, saya sering saja merungut. Saya menangis mahukan nasi dan lauk yang banyak. Tapi ibu cepat memujuk. Ketika makan, ibu sering membahagikan bahagian nasinya untuk saya. Sambil memindahkan nasi ke mangkuk saya, ibu berkata : “”Makanlah nak ibu tak lapar.” – PEMBOHONGAN IBU YANG PERTAMA.

Ketika saya mulai besar ibu yang gigih sering meluangkan watu senggangnya untuk pergi memancing di tali air berhampiran rumah. Ibu berharap dari ikan hasil pancingan itu dapat memberikan sedikit makanan untuk membesarkan kami adik-beradik. Pulang dari memancing, ibu memasak gulai ikan yang segar dan mengundang selera. Sewaktu saya memakan gulai ikan itu ibu duduk disamping kami dan memakan sisa daging ikan yang masih menempel di tulang daripada bekas sisa ikan yang saya makan tadi.. Saya sedih melihat ibu seperti itu.. Hati saya tersentuh lalu dengan menggunakan sudu saya memberikan ikan itu kepada ibu. Tetapi ibu dengan cepat menolaknya. Ibu berkata : “Makanlah nak, ibu tak suka makan ikan.” – PEMBOHONGAN IBU YANG KEDUA.
 
Di usia awal remaja, saya masuk sekolah menengah. Ibu pergi ke kedai dengan membawa sejumlah penyapu lidi dan kuih-muih untuk menyara persekolahan saya,abang dan kakak.
Suatu dinihari lebih kurang pukul 1.30 pagi saya terjaga dari tidur. Saya melihat ibu membuat kuih denagn beremankan sebuah pelita di hadapannya. Beberapa kali saya melihat kepala ibu terhangguk kerana mengantuk. Saya berkata : “Ibu, tidurlah, esok pagi ibu kena pergi kebun pula.” Ibu tersenyum dan berkata : “Cepatlah tidur nak, ibu belum mengantuk lagi.” – PEMBOHONGAN IBU YANG KETIGA.

 Di hujung musim persekolahan, ibu meminta cuti kerja supaya dapat menemani saya pergi ke sekolah untuk menduduki peperiksaan penting. Ketika hari sudah siang, terik panas matahari mulai menyinari, ibu terus sabar menunggu saya di luar dewan. Ibu seringkali saja tersenyum dan mulutnya terkumat-kamit berdoa kepada Illahi agar saya lulus ujian peperiksaan ini dengan cemerlang.
Ketika loceng berbunyi menandakan ujian sudah selesai, ibu dengan segera menyambut saya dan menuangkan kopi yang sudah disiapkan dalam botol yang dibawanya. Kopi yang kental itu tidak dapat dibandingkan dengan kasih saying ibu yang jauh lebih kental.
Melihat tubuh ibu yang dibasahi peluh, saya segera memberikan cawan saya itu kepada ibu dan menyuruhnya minum. Tapi ibu cepat-cepat menolaknya dan berkata : “Minumlah nak, ibu tak haus!!” – PEMBOHONGAN IBU YANG KEEMPAT.

Setelah pemergian ayah kerana sakit, iaitu selepas saya baru beberapa bulan dilahirkan, ibulah yang mengambil tugas sebagai ayah kepada kami sekeluarga. Ibu bekerja mengambil upah di kebun, membuat penyapu lidi dan menjual kuih-muih agar kami tidak kelaparan.
Tapi apalah sangat kudrat seorang ibu. Kehidupan keluarga kami semakin susah dan susah. Melihat keadaan keluarga yang semakin parah, seorang pakcik yang baik hati dan tinggal berjiran dengan kami, datang untuk membantu ibu. Anehnya, ibu menolak bantuan itu.
Jiran-jiran sering kali menasihati ibu supaya menikah lagi agar ada seorang lelaki yang akan menjaga dan mencarikan wang untuk kami sekeluarga. Tetapi ibu yang keras hatinya tidak mengendahkan nasihat mereka. Ibu berkata : “Saya tidak perlukan cinta saya tidak perlukan lelaki.” – PEMBOHONGAN IBU YANG KELIMA.

Setelah kakak dan abang habis belajar dan mula bekerja, ibu sudah pun tua. Kakak dan abang menyuruh ibu supaya berehat sahaja di rumah. Tidak payahlah lagi bersusah payah dan bersengkang mata untuk mencari duit. Tetapi ibu tidak mahu. Ibu rela pergi ke pasar setiap pagi menjual sedikit sayur untuk memenuhi keperluan hidupnya.
Kakak dan abang yang bekerja jauh di kota besar sering mengirimkan wang untuk membantu memenuhi keperluan ibu, pun begitu ibu tetap berkeras tidak mahu menerima wang tersebut. Malahan ibu mengirim balik wang itu dan ibu berkata : “Jangan susah-susah, ibu ada duit.” – PEMBOHONGAN IBU YANG KEENAM.

Setelah tamat pengajian di universiti, saya melanjutkan lagi pelajaran ke peringkat sarjana di luar Negara. Pengajian saya di sana dibiayai sepenuhnya oleh sebuah syarikat besar. Sarjana itu saya sudahi dengan cemerlang,kemudian saya pun bekerja dengan syarikat yang telah membiayai pengajian saya juga di luar negara.
Dengan gaji yang agak lumayan, saya berhajat membawa ibu untuk menikmati penghujung hidupnya di luar negara. Pada pandangan saya, ibu sudah puas bersusah payah untuk kami. Hampir seluruh hidupnya habis dengan penderitaan, eloklah kalau hari-hari tuanya ini ibu habiskan dengan keceriaan dan keindahan pula.
Tetapi ibu yang baik hati, menolak ajakan saya. Ibu tidak mahu menyusahkan anaknya ini dengan berkata ; “Tak payahlah, ibu tak biasa tinggal di negara orang.” – PEMBOHONGAN IBU YANG KETUJUH.

Beberapa tahun berlalu, ibu semakin tua.. Suatu malam saya menerima berita ibu diserang penyakit kanser. Ibu mesti dibedah secepat mungkin. Saya yang ketika itu berada jauh diseberang samudera terus segera pulang untuk menjenguk ibunda tercinta.
Saya melihat ibu terbaring lemah di katil hospital setelah menjalani pembedahan. Ibu yang kelihatan sangat tua, menatap ajah saya dengan penuh kerinduan. Ibu menhadiahkan saya sebuah senyuman biarpun agak kaku kerana terpaksa menahan sakit yang menjalari setiap inci tubuhnya.. Saya dapat melihat dengan jelas betapa penyakit itu telah memamah tubuh ibu sehingga ibu menjadi terlalu lemah dan kurus.
Saya menatap wajah ibu sambil berlinangan air mata. Saya cium tangan ibu kemudian saya kecup pula pipi dan dahinya. Di saat itu hati saya terlalu pedih, sakit sekali melihat ibu dalam keadaan seperti ini. Tetapi ibu tetap tersenyum dan berkata : “Jangan menangis nak, ibu tak sakit.” – PEMBOHONGAN IBU YANG KELAPAN.

Anda bertuah kerana masih mempunyai ibu dan ayah. Anda boleh memeluk dan menciumnya. Kalau ibu anda jauh dari mata, anda boleh menelefonnya sekarang, dan berkata, ‘Ibu,saya sayangkan ibu.’ Tapi tidak saya. Sehingga kini saya diburu rasa bersalah yang amat sangat kerana biarpun saya mengasihi ibu lebi dari segala-galanya, tapi tidak pernah sealipun saya membisikkan kata-kata itu ke telinga ibu. Ibu, maafkan saya. Saya sayangkan ibu…